ANGGOTA KERJA SIRIM LAFAZ IKRAR BEBAS RASUAH

Warga kerja Kumpulan SIRIM melafazkan Ikrar Bebas Rasuah pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuh yang diadakan di Auditorium Dato’ Yahaya Ahmad, SIRIM, Shah Alam, pada 14 Disember 2017.

Lafaz ikrar tersebut diketuai oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBhg. Prof. Ir. Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani FASc., FIEM dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPJ) Amir Hamzah Idris. Anggota kerja SIRIM yang hadir terdiri daripada pihak pengurusan tertinggi SIRIM dan anak-anak syarikat, ketua-ketua jabatan dan seksyen dan anggota kerja pelbagai peringkat.

Prof Ir Dr Ahmad Fadzil dalam ucapannya berkata ikrar yang dilafazkan adalah bukti janji yang dibuat oleh barisan kepimpinan SIRIM dan anggota kerjanya secara sukarela untuk memastikan setiap anggota yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah sepanjang berkhidmat di SIRIM.
 
Bersempena dengan majlis tersebut, turut diadakan Forum Integriti bertajuk - ‘Tone From The Top’ yang menampilkan ahli panel seperti Mantan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), YBhg. Datuk Dr. Mohd Tap Salleh serta Prof Ir Dr Ahmad Fadzil. Forum dipengerusikan oleh YBrsh. Prof. Khaeruddin Sudharmin dari School Of Management Asia e University (AeU) Malaysia.