SIRIM METERAI KERJASAMA DENGAN DEMI IDAMAN, SYARIKAT PENULENAN EMAS PERTAMA MALAYSIA

SIRIM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Demi Idaman Sdn Bhd bagi mewujudkan kerjasama dalam pembangunan standard organisasi berkaitan kehalusan dan penulenan emas.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBhg Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan Pengarah Urusan Demi Idaman Sdn Bhd, YBrsh. En. Zakaria Saad pada 22 Januari 2018, di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan MoU berkenaan selepas mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Produk Demi Idaman bersama Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Yang turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin; DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan YAM Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, YABhg. Datin Seri Rosmah Mansor.

Antara bidang kerjasama yang akan dijalinkan melalui pemeteraian MoU berkenaan oleh SIRIM melalui anak syarikatnya SIRIM STS Sdn Bhd dengan Demi Idaman Sdn Bhd adalah dalam bidang perundingan; kepakaran; informasi; merangka standard; menyelaraskan sesi pembangunan standard, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti berasaskan pengetahuan; dan lain-lain program kerjasama dalam Standard Emas.

Pada majlis yang sama, SIRIM melalui anak syarikatnya SIRIM QAS International Sdn Bhd telah menganugerahkan Skim Pensijilan Cap Kempa Emas berdasarkan standard antarabangsa ISO / IEC 17067 yang mengeluarkan sijil untuk ketulenan perhiasan emas dan jongkong emas yang dijual di pasaran kepada Demi Idaman Sdn Bhd.

Skim pensijilan itu telah disampaikan oleh Pengerusi SIRIM, YBhg Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali kepada Pengerusi Demi Idaman Sdn Bhd, YAD Datuk Salehuddin Saidin.  

Demi Idaman Sdn.Bhd. ditubuhkan pada Mac 2010 adalah sebuah syarikat yang menguruskan perniagaan berasaskan tempaan dan penulenan emas berkualiti tinggi.


End/