Print


Program berkaitan produk hasilan kelulut ini bertujuan memperkenalkan penggunaan IoT (Internet of Things) dan Rangkaian Sensor Tanpa Wayar (Wireless Sensor Network) dalam penternakan dan pengusahaan Kelulut. Ia merupakan satu daripada projek di bawah program SIRIM Fraunhofer yang membolehkan SIRIM membantu penternak dalam meningkatkan keupayaan pengurusan pengeluaran madu, seterusnya dapat menjana pendapatan yang lebih lumayan.

 

Madu kelulut yang dihasilkan oleh spesis lebah kelulut (“Stingless Bee” atau Meliponini spp.) telah diisytihar sebagai “Super Food Malaysia” yang pertama yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa. Mengikut Kementerian Pertanian dan Asas Tani, terdapat kira-kira 700 penternak berdaftar dengan jumlah 60,000 log kelulut yang menyumbang kepada jumlah pengeluaran 140,000 kilogram madu dan menjana pendapatan sebanyak RM 17 juta pada tahun 2017.

 

Program yang dibangunkan oleh SIRIM dengan kerjasama Institut Genome Malaysia (MGI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini terdiri daripada pembangunan Sistem Maklumat Bersepadu Kelulut (KIIS), alat tuaian madu yang mudah alih dan ringan, latihan kesedaran dan pendedahan kepada penternak tentang potensi propolis sebagai agen kosmetik dan program pelabelan dan pembungkusan. Tiga pengusaha syarikat penternakan kelulut iaitu Belantara SR Enterprise, The Bees Alchemy dan Zaimi Gemilang Enterprise telah diberikan penghargaan di atas penglibatan mereka di dalam program tersebut.

 

Program ini dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, YBhg. Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, F.ASc, FIEM., Pengurusan SIRIM, pengusaha kelulut, dan wakil agensi dan institusi penyelidikan berkaitan. Turut hadir dalah Pengetua Akademi Kelulut Malaysia, YBrsh. Encik Abu Hassan Jalil.