Open University Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SIRIM STS Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh SIRIM bagi menjalankan kerjasama dalam standard sistem pengurusan dan kompetensi kakitangan.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Presiden dan Naib Canselor OUM, YBhg. Prof Dato’ Dr. Mansor Fadzil dan Naib Presiden, Perancangan dan Strategi OUM, Prof Ramli Bahroom manakala SIRIM diwakili oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, YBhg. Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, FAsc. FIEM, dan Pengarah Urusan SIRIM STS Sdn Bhd, Dr Norlinda Mohd Zawawi dalam majlis yang berlangsung di Kampus OUM Kuala Lumpur. 

OUM dengan kerjasama SIRIM Berhad telah memperkenalkan program Sarjana Pengurusan Kualiti dan program berkenaan adalah usahasama bijak antara SIRIM melalui anak syarikatnya SIRIM STS Sdn Bhd bersama institusi pengajian tinggi.

Program Sarjana Pengurusan Kualiti (MQM) akan menyediakan pelajar dengan asas yang kukuh dalam teori dan pelbagai konsep aplikasi yang membentuk asas Pengurusan Kualiti Keseluruhan. Ia meliputi bidang Pengurusan Kualiti Keseluruhan, Kaedah dan Alat Peningkatan Kualiti, Sistem Pengurusan berasaskan Piawaian dan Amalan Terbaik yang lain.

Pelajar akan mempelajari kaedah-kaedah bagi memperbaiki kelemahan sistem operasi dan pengurusan dalam sesebuah organisasi. Program ini juga akan membantu organisasi dan majikan dalam meningkatkan kecekapan anggota kerja yang terlibat dalam pengendalian & jaminan kualiti seperti Jurutera Kualiti, Pemeriksa Kualiti, Pengurus Kualiti, QMRs, Pengendali Dokumen, Juruaudit Kualiti dan Pegawai Pematuhan.