Print

SIARAN MEDIA

 

AHMAD TAJUDDIN ALI DILANTIK PENGERUSI SIRIM Berhad YANG BARU

Berkhidmat semula di SIRIM selepas hampir 20 tahun

SHAH ALAM, 19 Mei: Tan Sri Datuk Ir. Dr. Ahmad Tajuddin bin Ali, dilantik sebagai Pengerusi SIRIM Berhad yang baru berkuat kuasa 20 Mei 2015, bagi menggantikan Datuk Jamaliah Kamis yang tamat tempoh perkhidmatannya hari ini.

Pelantikan selama tiga tahun itu dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan melalui satu surat pelantikan baru-baru ini.

Dalam surat pelantikan itu, Dato’ Sri Mohd Najib berharap agar pelantikan Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Tajuddin dapat memainkan peranan penting untuk meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian SIRIM Berhad ke tahap yang lebih cemerlang.

Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Tajuddin sebelum ini pernah menerajui SIRIM dari tahun 1989 hingga1996 sebagai Ketua Pengarah organisasi yang pada masa itu dikenali sebagai Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia.

Berusia 67 tahun, anak kelahiran Tambun Tulang, Perlis itu berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Nuklear daripada Queen Mary College, University of London pada 1977. Sebelum itu, beliau memperoleh ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Kelas Pertama) dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) daripada King’s College, University of London.

Sebelum dilantik sebagai Pengerusi SIRIM Berhad, beliau turut menyandang beberapa jawatan penting dalam kerajaan dan swasta antaranya Pengerusi UEM Group Berhad (April 2007-sekarang); Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malasia (CIDB) (Feb 2014-sekarang); dan Pengerusi/Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (Sept 1996-Ogos 2000).

Selain itu, Ahmad Tajuddin juga adalah Felo Yayasan Akademi Sains Malaysia, Felo Institut Kejuruteraan Malaysia dan Felo Asean Federation of Engineering Organisations dan turut menduduki kerusi Lembaga Amanah di beberapa organisasi kerajaan dan swasta seperti Yayasan Khazanah, Yayasan UEM dan Mahathir Science Award Foundation.

SIRIM Berhad, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan perindustrian dan inovasi teknologi selain bertanggungjawab dalam pembangunan standard dan kualiti.

Pada pembentangan Bajet 2015 yang lepas, SIRIM diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi di kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana tempatan.

Melalui Model Inovasi Perindustrian SIRIM (SIRIM Industrial Innovation Model) yang baru, SIRIM juga sedang membangunkan mekanisme dan entiti yang akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan penawaran produk dalam kalangan PKS, mewujudkan model-model perniagaan yang baru yang lebih berkesan, serta memperkenalkan teknologi baru bagi menjadikan syarikat perniagaan tempatan lebih cekap dan berdaya saing di pasaran global.

 

Mengenai SIRIM Berhad

Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, SIRIM Berhad adalah organisasi Penyelidikan dan Teknologi yang utama, yang melaksanakan penyelidikan dan teknologi berdasarkan kepada tiga teras iaitu Tenaga dan Alam Sekitar, Teknologi Perubatan, serta Loji dan Mesin. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan pembangunan Standard, selaras dengan misinya untuk "menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam kualiti dan inovasi teknologi.” www.sirim.my

 

Perhubungan Media:

Ruhil Amani Zainal Abidin, Tel : 603 5544 6770 / 013-2010402 e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Daing Zarina Daing Mokhtar, Tel : 603 5544 5021 / 019-6555244 e-mel:This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.