SIARAN MEDIA

UKUR KELEMBAPAN PADI, BERAS DI MAKMAL METROLOGI KEBANGSAAN SIRIM, DAPAT KURANGKAN KERUGIAN PETANI

Sempena sambutan Hari Metrologi Sedunia, NML-SIRIM turut perkenal  Sistem Kalibrasi AES

SEPANG, 20 Mei – Makmal Metrologi Kebangsaan, SIRIM (NML-SIRIM) bersedia membantu petani mengurangkan kerugian semasa proses penetapan kadar potongan harga berikutan hasil padi dan beras yang lembap melalui kemudahan bahan rujukan Pengukuran Kelembapan Padi dan Beras.

Bahan rujukan kelembapan padi dan beras yang dibangunkan oleh NML-SIRIM ini boleh ditawarkan bagi kerja-kerja menentukur (calibration) dan menentusahkan (verification) meter alat pengukur kelembapan padi dan beras oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Kooperasi.

Perkhidmatan tentukuran kelembapan beras oleh NML-SIRIM juga diperluaskan kepada agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kualiti padi dan beras negara seperti Beras Nasional (BERNAS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), pengilang-pengilang beras, pemborong-pemborong beras dan persatuan-persatuan petani.    

Pengukuran kelembapan bagi padi dan beras adalah sangat kritikal kerana kandungan kelembapan akan memberi kesan kepada hasil penuaian, simpanan, hasil pengilangan, dan kualiti beras yang dipasarkan.

“Penggunaan meter dan alat timbang kelembapan beras yang telah dilulus, ditentusah dan dimeterai boleh mengembalikan keyakinan dan mengurangkan konflik,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah sempena sambutan Hari Metrologi Sedunia di Makmal Metrologi Kebangsaan SIRIM di sini. Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad Dato’ Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof serta Pengarah International Bureau of Weight and Measure (BIPM) Dr. Martin Milton.

Satu lagi perkhidmatan tentukuran terbaru NML-SIRIM adalah tentukuran bagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), yang telah dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sistem perkhidmatan tentukuran yang dibangunkan oleh NML-SIRIM adalah setanding dengan negara-negara maju bagi menjamin ketelusan dan mematuhi keperluan kebolehkesanan pengukuran kepada unit SI seperti yang ditetapkan oleh Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007. Sistem ini dapat membantu kerja-kerja tentukuran dan verifikasi terhadap semua sistem AES untuk penguatkuasaan undang-undang oleh JPJ dengan lebih berkesan. Semua kerja-kerja penguatkuasaan oleh JPJ adalah berlandaskan Warta Kerajaan Persekutuan bagi Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan Yang Dirakamkan Melalui Kamera) 2012.

Perkhidmatan yang sama juga boleh digunakan untuk kerja-kerja kalibrasi sistem rakaman kesalahan memandu melalui kamera yang mungkin digunakan oleh pihak-pihak berkuasa tempatan yang memerlukan kebolehkesanan kepada NML-SIRIM. Di antaranya termasuklah semua majlis perbandaran yang terlibat dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang kepada kenderaan awam.

Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad Dato’ Dr Zainal Abidin Mohd Yusof dalam ucapannya berkata NML-SIRIM akan terus menyebarkan dan menggalakkan parameter pengukuran dan teknologi di negara ini termasuk menyediakan perkhidmatan penentukuran bagi standard pengukuran, dan perkhidmatan perundingan bagi projek pengukuran khusus selain menyediakan latihan mengenai teknik pengukuran.

“Di bawah perancangan baru, NML-SIRIM telah ditugaskan dengan pelbagai projek di bawah pembiayaan penyelidikan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama bagi teknik dan standard pengukuran kepersisan tinggi,” katanya.

Antara aktiviti yang akan dilaksanakan adalah kelulusan rekabentuk/jenis kelulusan bagi peralatan mengukur barangan perdagangan, menyediakan perkhidmatan pengesahan tentukuran metrologi perundangan, serta penentusahan peralatan perdagangan dan pemindahan pemilikan.Bertemakan “Measurements and Light"(Pengukuran dan Cahaya), Hari Metrologi Sedunia disambut secara serentak dengan 17 negara lain untuk memperingati Konvensyen Meter pada 20 Mei 1875. Menyasarkan kepada keseragaman pengukuran sedunia, Konvensyen Meter juga membentuk satu rangka kerjasama antarabangsa dalam bidang sains pengukuran kepada industri yang berkaitan.

Pada hari terbuka NML-SIRIM sempena sambutan Hari Metrologi Sedunia, pengunjung berpeluang menyaksikan aktiviti metrologi antaranya mengukur ketumpatan emas sebenar dengan menggunakan bahan rujukan sah bagi emas yang dibangunkan oleh NML-SIRIM, serta mendapat ukuran berat badan sebenar dengan menggunakan mesin penimbang paling tepat yang dikendalikan oleh ahli metrologi.

###

 

Mengenai SIRIM Berhad

Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, SIRIM Berhad adalah organisasi Penyelidikan dan Teknologi yang utama, yang melaksanakan penyelidikan dan teknologi berdasarkan kepada tiga teras iaitu Tenaga dan Alam Sekitar, Teknologi Perubatan, serta Loji dan Mesin. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Standard dan Penilaian Pematuhan, selaras dengan misinya untuk "menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam inovasi kualiti dan teknologi.“ www.sirim.my

 

Mengenai Makmal Metrologi Kebangsaan SIRIM (NML-SIRIM)

Makmal Metrologi SIRIM (NML-SIRIM) telah diberi mandat di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675) untuk menyelaraskan Sistem Pengukuran Kebangsaan dan meningkatkan keyakinan terhadap amalan pengukuran di negara ini. NML-SIRIM merupakan satu daripada anggota International Bureau of Weight and Measures (BIPM), anggota Asia Pacific Metrology Programme dan International Legal Metrology Programme serta penandatangan kepada Jawatankuasa Antarabangsa Timbang dan Sukat Aturan Pengiktirafan Bersama (CIPM-MRA). Ia kini telah menghasilkan lebih daripada 155 jenis penentukuran dan ukuran keupayaan bagi pelbagai perkhidmatan pengukuran termasuklah akustik, ultrasonik dan getaran, berat dan kuantiti berkaitan, panjang, fotometri dan radiometri, termometri, masa dan frekuensi, elektrik dan magnetik.

Perhubungan Media:

  • Ruhil Amani Zainal Abidin, Tel : 603 5544 6770 / 013-2010402 e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
  • Daing Zarina Daing Mokhtar, Tel : 603 5544 5021 / 019-6555244 e-mel:This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.