Print

         
 


KENYATAAN MEDIA

YB DATUK SERI PANGLIMA MADIUS TANGAU
MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
7 NOVEMBER 2015

ISU KESELAMATAN ALAT VAPE DAN E-CIGARETTE 

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengkaji keperluan untuk membangunkan sebuah standard berhubung alat Vape dan E-cigarette berikutan isu keselamatan alat-alat sedemikian yang dibangkitkan orang ramai sekarang.

Buat masa ini, bagi menangani isu keselamatan penggunaan alat-alat sedemikian, agensi di bawah MOSTI iaitu SIRIM melalui anak syarikatnya, SIRIM QAS International berkeupayaan untuk menjalankan beberapa jenis pengujian ke atas ciri-ciri keselamatan alat-alat berkenaan.

Bagi alat jenis Vape, pengujian keselamatan boleh dijalankan ke atas bateri Ion Litium yang digunakan yang tertakluk di bawah ujian IEC 62133. Ujian meliputi perkara berikut:

- Ujian Altitud – bateri disimpan dalam tekanan 11.6kPa atau kurang untuk sekurang-kurangnya 6 jam
- Kitaran Terma (Thermal cycling)
- Getaran (Vibration)
- Hentakan Mekanikal (Mechanical Shock)
- Litar pintas luaran (External short-circuit)
- Ujian Hancur (Crush) – dikenakan oleh alat/penghimpit hidraulik dengan tekanan 15N
- Discas Paksaan (Force discharge)
- Pengecasan luar biasa (Abnormal charging)
- Jatuh bebas (Free fall)
- Salah guna Terma (Thermal abuse)
- Pemasangan Salah (Incorrect installation)
- Terlebih cas (Overdischarge)

Bagi setiap ujian, hasilnya adalah untuk memastikan tidak berlaku litar pintas, letupan, kebakaran, kebocoran ataupun pecah.

Bagi alat jenis E-Cigarette, peralatan jenis ini kebiasaannya menggunakan pengecas biasa ataupun penyesuai (adaptor) yang tertakluk di bawah standard MS: MS IEC 60335-1: 2013 dan MS IEC 60335-2-29:2005.

Bagi keselamatan E-liquid iaitu cecair yang terkandung di dalam E-cigarette, satu standard perlu dikenalpasti atau dibangunkan sebelum pengujian atau pensijilan boleh dilaksanakan. Walaubagaimanapun, ujian boleh dilakukan oleh SIRIM QAS International ke atas E-liquid bagi mengenalpasti kehadiran logam berat seperti bahan pencemar logam (metal contaminants), bahan berbahaya (harmful substances) dan kandungan karsinogenik (carcinogenic content).

Sehubungan itu, pengeluar atau pengedar alat Vape dan E-Cigarette boleh tampil secara sukarela untuk menjalani ujian-ujian berkenaan ke atas peralatan jualan mereka.

 

Datuk Seri Panglima Madius Tangau

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi


 


Unit Komunikasi Korporat

   Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

    Telefon: 03-8885 8822 / 012-9075 372, Faks: 03-8890 3092

    E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.