Print

KENYATAAN AKHBAR

 

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA

UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN

DENGAN SIRIM  MEASUREMENTS DAN AGILENT TECHNOLOGIES

 

21 JULAI 2016 (KHAMIS)

DEWAN EKSPERIMENTAL, UMK KAMPUS KOTA, UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN

Nutrisi haiwan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembiakan haiwan yang mana keperluannya berbeza mengikut spesies dan peringkat fisiologi.  Pemakanan yang baik mampu memberi impak yang besar kepada industri ternakan, sama ada haiwan darat (ruminan dan bukan ruminan) mahupun haiwan akuatik. Namun demikian, industri ternakan tempatan, banyak bergantung kepada sumber-sumber  import, terutama jagung, mil kacang soya dan mil ikan, khususnya untuk industri bukan ruminan (ayam itik, khinzir dan akuakultur). Dalam industri ruminan pula, kekurangan sumber makanan yang berkualiti tinggi dan kos makanan yang mahal menjadi isu utama.

Melihat kepentingan untuk tidak bergantung kepada import makanan ternakan, beberapa siri pertemuan dan perbincangan antara UMK, Agilent dan SMT telah dijalankan. Hasil perbincangan telah mengetengahkan inisiatif bagi mempertingkatkan kemampuan negara untuk menghasilkan makanan haiwan sendiri. Kerjasama antara tiga pihak ini (UMK, Agilent dan SMT) akan mengkhususkan kepada kelestarian industri ternakan negara terutama ke arah memastikan kecukupan dan keselamatan sumber makanan. Tumpuan juga akan diberikan terhadap penggunaan teknologi-teknologi baru bagi meningkatkan nilai pemakanan sumber-sumber makanan tempatan, terutama daripada bahan-bahan agro-industri pertanian.

Antara kerjasama ini ialah melalui penyelidikan dalam bidang nutrisi haiwan, penilaian sumber makanan ternakan alternatif, dan keselamatan sumber makanan.

Kerjasama ini akan mengetengahkan UMK di bawah Program Penternakan Haiwan dari Fakulti Industri Asas Tani dan Fakulti Perubatan Veterinar sebagai pusat penyelidikan makanan ternakan negara. Dengan kepakaran Agilent Technologies sebagai pakar produk analisa, serta kemampuan SMT sebagai peneraju piawaian, jalinan kerjasama dengan UMK bakal menyaksikan kerjasama mampan melalui aktiviti penyelidikan dan perkongsian teknologi

###

Mengenai Universiti Malaysia Kelantan.

Semenjak tahun 2007, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengamalkan budaya penyelidikan yang mempunyai nilai komersial yang berpotensi, sebagai salah satu usaha untuk memantapkan bidang penyelidikan di UMK. Menggunakan moto Keusahawanan Teras Kami , UMK berusaha untuk menerapkan elemen keusahawanan dalam pembangunan penyelidikan dan inovasi.

 

Mengenai SIRIM Measurements Technology.

SIRIM Mesurements Technology Sdn. Bhd. (SMT) merupakan anak syarikat SIRIM Berhad, yang memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian pengukuran peralatan, serta perkhidmatan teknikal seperti bantuan produk permulaan dan sokongan, latihan, perundingan, pembangunan sistem ujian dan integrasi, penentukuran dan pembaikan produk pengukuran pelbagai vendor (Calibration and repair service) untuk saintis, jurutera dan penyelidik.

SMT juga merupakan rakan teknologi strategik bagi Keysight Technologies dan Agilent Technologies, SMT menyediakan spektrum teknologi yang berskala luas  yang terdiri daripada elektronik, sains hayat dan analisis kimia, yang membolehkan penemuan dan mendorong sempadan sains.

SMT berpengkalan di Kuala Lumpur, serta mempunyai cawangan di Permatang Pauh,Pulau Pinang dan Senai, Johor. Cawangan di Permatang Pauh juga menjalankan servis perkhidmatan pembaikan dan penentukuran (Calibration and repair service). www.sirim-measurements.com

 

 

 

Mengenai Agilent Technologies.

Agilent Technologies Inc. (NYSE: A) adalah peneraju global dalam pasaran sains hayat, diagnostik dan kimia gunaan. Sebagai rakan makmal terulung bagi mewujudkan dunia yang lebih baik. Agilent memberi perkhidmatan kepada pelanggan di lebih 100 buah negara, dengan menyediakan peralatan, perisian, perkhidmatan dan barang guna habis untuk seluruh aliran kerja makmal. Agilent menjana pendapatan sebanyak $4.04 bilion pada tahun fiskal 2015 dan menggajikan kira-kira 12,000 kakitangan di seluruh dunia. Dapatkan maklumat tentang Agilent di www.agilent.com.