Print

1 Mac 2016

 

MEDIA ADVISORY

Lima Inovasi SIRIM Terima Anugerah di Malaysia Technology Expo (MTE) 2016

SIRIM telah menyertai MTE 2016 yang berlangsung dari 18 hingga 20 Februari 2016 di PWTC Kuala Lumpur. Lima daripada tujuh inovasi SIRIM yang dipertandingkan sepanjang pameran tersebut telah menerima Anugerah yang terdiri daripada satu Emas serta empat Gangsa.

Sehubungan itu, kami ingin menjemput pihak media untuk melakukan sesi temubual eksklusif dengan penyelidik SIRIM yang telah menghasilkan beberapa inovasi terbaik ini.


  1. ‘Solar Thermal Drying Technology for Marine Products’ (Anugerah Emas)

 Tenaga Solar adalah satu daripada sumber tenaga boleh diperbaharui untuk menghasilkan tenaga elektrik. Teknologi ‘Solar Thermal Dryer’ pula menggunakan hasil sumber tenaga ini bagi tujuan pemanasan. Projek Sistem ‘Solar Thermal Dryer’ SIRIM, yang diketuai oleh Nik Marzuriani Nik Mohamed serta dua rakan penyelidik Mashitah Jaafar dan Nur Elida Mohamad Zahari dapat membantu komuniti yang menghasilkan produk marin kering ke pasaran global berdasarkan kepada proses pengeringan yang bersih yang menepati piawaian HALAL.

‘Solar Thermal Drying’ ini berupaya menampung sehingga 500kg bagi setiap kumpulan produk yang dikeringkan. Setakat ini, teknologi yang dihasilkan terbukti dapat membantu mengurangkan sehingga 50% tempoh pengeringan ikan masin (Ikan Talang) iaitu dari 24 jam kepada 12 jam sahaja. Manakala pengeringan ikan bilis, gelama, cencaru pula mengambil masa tiga hingga empat jam dari tempoh asal lapan jam. Secara tidak langsung, pengusaha yang menggunakan teknologi ini dapat meningkatkan hasil produk mereka dua kali ganda dari berbanding teknik konvensional. Sistem ini terdiri daripada sebuah rumah yang memiliki bumbung sebagai pengumpul tenaga serta sebuah kebuk (chamber).

 

  1. Green NGV Save’ (Anugerah Gangsa)

Teknologi ini dihasilkan dengan objektif untuk mengurangkan kadar penyelenggaraan dan kerosakan teksi-teksi yang menggunakan kuasa NGV akibat daripada penggunaan bahan api NGV secara tidak terkawal melalui kawalan petrol, CNG, suhu dan kelajuan putaran enjin.

Inovasi yang dibangunkan oleh Al Malek Faisal, serta empat lagi penyelidik iaitu Mohd Azam Shah Abd Hamid, Mohd Suhaimi Abdul Wahab, Hasnul Hisham Ahmad Zambri Bolhi Brodi ini, telah menerima bantuan daripada Dana Sosio-Ekonomi MOSTI, dan mengambil masa selama enam bulan untuk dibangunkan. Selain daripada teksi, kenderaan lain yang berkuasa petrol dan NGV juga turut menerima manfaat daripada projek ini.

 

  1. Optical Planar Waveguide Dicing Machine’ (Anugerah Gangsa)

Pengeluar litar bersepadu fotonik & elektronik, industri kecil sederhana, institusi penyelidikan dan universiti yang terlibat dalam penyelidikan & pembangunan litar fotonik dan elektronik (photonic & electronic) akan mendapat banyak manfaat daripada inovasi yang dihasilkan ini.

Optical Planar Waveguide Dicing Machine’ direkabentuk dan dibangunkan bagi menghasilkan mesin pencanai mudah alih yang berkelajuan dan berketepatan tinggi dengan keupayaan memotong dan menghiris sehingga kemasan cermin serta bebas dari penghasilan serpihan semasa penghirisan berlaku.

Inovasi yang diketuai oleh Ir. Rohaizat Omar dengan ahli pasukan iaitu Mohd Azri Abd Mutalib, Mohd ‘Akashah Fauthan, Noor Adilah Othman dan Siti Musalmah Md Ibrahim memberi penyelesaian kepada industri yang berkaitan semasa proses fabrikasi.

 

  1. ‘Dermatocide Botanical Antifungal Cream’ (Anugerah Gangsa)

Kebanyakan krim anti-kulat sintetik mengandungi sebatian kimia yang dipanggil azole yang boleh menyebabkan hipersensitiviti dan tindak balas alergi jika digunakan untuk tempoh masa yang panjang.

Azole boleh menyebabkan ‘drug resistance’ (ketahanan terhadap ubat) jika digunakan dalam tempoh yang panjang. Selain itu, ia juga boleh menghasilkan risiko kepada wanita mengandung melalui gangguan penghasilan estrogen semasa kehamilan dan seterusnya memberi kesan kepada kandungan. Oleh yang demikian, penghasilan krim anti fungi dari bahan botani amat diperlukan bagi menggantikan krim bersebatian kimia sedia ada.

Inovasi yang diketuai oleh Thavamanithevi Subramaniam dan dibantu oleh Sarifah Rejab, Theanmalar Masilamani, Dahlia Daud, Yap Say Moi dan Aidawati Mohamed Shabery, mengambil masa setahun untuk dibangunkan. Ia memberi tumpuan kepada keperluan pesakit yang menghadapi masalah kulat seperti kurap, kutu air, jock itch, dan jangkitan yis, serta memberi memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar krim berasaskan bahan kimia untuk menyediakan krim berasaskan tumbuhan kepada pasaran.

 

Mengenai SIRIM Berhad

Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, SIRIM Berhad adalah organisasi Penyelidikan dan Teknologi yang utama, yang melaksanakan penyelidikan dan teknologi berdasarkan kepada tiga teras iaitu Tenaga dan Alam Sekitar, Teknologi Perubatan, serta Loji dan Mesin. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Standard dan Penilaian Pematuhan, selaras dengan misinya untuk "menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam kualiti dan inovasi teknologi.“ www.sirim.my

 

 Perhubungan Media: