SIARAN MEDIA

SIRIM LANCAR NILAI KORPORAT BARU UNTUK ANGGOTA KERJA SEMPENA ULANG TAHUN KE-20 PENGKORPORATAN

 


SHAH ALAM, 2 September
– SIRIM Berhad yang menyambut ulang tahun ke-20 pengkorporatannya, telah melancarkan Nilai Korporat yang baru bagi anggota kerjanya yang bertujuan mengukuhkan lagi usahanya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan pemegang kepentingan syarikat milik kerajaan itu.

Tiga Nilai Korporat berkenaan adalah Fokus kepada Pelanggan, Integriti dan Kerjasama Berpasukan telah dilancarkan oleh Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali di sini sempena majlis sambutan ulang tahun ke-20 pengkorporatan SIRIM baru-baru ini.

Majlis sambutan dihadiri oleh anggota lembaga pengarah, pihak pengurusan dan 1,500 orang anggota kerja Kumpulan SIRIM yang mewakili unit-unit perniagaan strategik serta enam anak syarikatnya.

Ahmad Tajuddin berkata, anggota kerja SIRIM perlu mengukuhkan kedudukan organisasi itu sebagai sebuah pusat penyelidikan perindustrian utama di Malaysia dengan mendahului kehendak pasaran dan menawarkan teknologi terkini kepada industri tempatan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Dato’ Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof dalam ucapannya berkata, dalam memasuki dekad ketiga pengkorporatan, cabaran bagi SIRIM dan anggota kerjanya adalah lebih besar.

“Kita perlukan tenaga dan semangat baru yang kental. SIRIM dan anggota kerjanya perlu diberi tenaga baru.

“Semuanya perlu seimbang seperti yang ditekankan dalam Nilai Korporat yang baru iaitu Fokus kepada Pelanggan dengan memberi perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan; mengamalkan standard Integriti yang tertinggi, serta mencapai kejayaan melalui dedikasi, komitmen dan kerjasama berpasukan,” katanya.

Program sambutan ulang tahun pengkorporatan selama sehari bertemakan “Re-energising SIRIM” atau ‘Memberi tenaga baru kepada SIRIM’ berlangsung pada 19 Ogos lepas, terdiri daripada dua sesi iaitu sesi untuk anggota kerja dan sesi anggota kerja bersama keluarga.

Bagi anggota kerja, program yang diatur termasuklah pertandingan menulis ikrar khas pengkorporatan, pertandingan selfie/wefie, jamuan khas dan program motivasi bersama penyanyi terkenal, Dato’ Norman Abdul Halim, yang juga Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU.

Pada sebelah malam, lebih 2,000 orang anggota kerja SIRIM dan keluarga turut dihiburkan dengan sesi wayang pacak filem animasi Boboiboy, karnival ‘food truck’ dan persembahan ‘buskers’.

SIRIM, sebuah organisasi penyelidikan perindustrian, teknologi dan kualiti di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah dikorporatkan pada 1 September 1996. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia.

SIRIM diperkukuhkan oleh 2,200 orang anggota kerja yang menyokong operasi enam buah anak syarikat, empat unit perniagaan strategik serta lapan buah pusat teknologi.

Program tranformasi lima tahun SIRIM bermula pada 2013 sehingga 2017 menyaksikan organisasi itu membuat penstrukturan semula, serta memberi tumpuan penyelidikan kepada tiga flagship iaitu Tenaga dan Alam Sekitar, Teknologi Perubatan, dan Loji dan Pemesinan.

Perkhidmatan teras SIRIM dibahagikan kepada dua iaitu pembangunan dan komersial, dengan perkhidmatan pembangunan yang meliputi penyelidikan perindustrian, pembangunan dan peningkatan produk, penilaian dan pengkomersialan teknologi, perkhidmatan pengesanan pengukuran dan pembangunan usahawan; manakala perkhidmatan komersial yang ditawarkan oleh anak syarikatnya terdiri daripada pensijilan, pengujian dan pemeriksaan, latihan dan perundingan, penyelidikan dan pengurusan standard, tentukuran dan pengukuran, serta reka bentuk keselamatan dan pembungkusan.

###

 

Mengenai SIRIM Berhad

Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, SIRIM Berhad adalah organisasi Penyelidikan dan Teknologi yang utama, yang melaksanakan penyelidikan dan teknologi berdasarkan kepada tiga teras iaitu Tenaga dan Alam Sekitar, Teknologi Perubatan, serta Loji dan Mesin. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Standard dan Penilaian Pematuhan, selaras dengan misinya untuk "menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam kualiti dan inovasi teknologi.“ www.sirim.my