Sambutan Hari Metrologi Sedunia 2017 telah dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (tengah di barisan atas), bersempena dengan Asia Pacific Metrology Programme (APMP) Mid-Year Meetings yang berlangsung pada 22 hingga 26 Mei 2017 di Melaka. 



SIARAN MEDIA

INSTITUT METROLOGI KEBANGSAAN MALAYSIA BANGUNKAN EMPAT KEMUDAHAN PENGUKURAN PENGANGKUTAN

BANDAR HILIR, 22 Mei 2017: Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), telah membangunkan empat kemudahan pengukuran berkaitan pengangkutan iaitu Vehicle Speed Measurement Reference System (Sistem Pengukuran Rujukan Kelajuan Kenderaan); Weighbridge Calibration dan Weigh-In-Motion System (Sistem Tentukuran Titi Timbang dan Timbang Secara Bergerak; MyRM Opacity (MyRM Kelegapan); dan MyRM Tint (MyRM Ketelusan Cahaya).

Vehicle Speed Measurement Reference System (Sistem Pengukuran Rujukan Kelajuan Kenderaan) adalah satu sistem bertujuan memastikan bacaan kelajuan kamera Automated Enforcement System (AES) adalah tepat serta mengikut keperluan standard pengukuran antarabangsa.

Melalui sistem ini, NMIM telah menyediakan kebolehkesanan (traceability) untuk tentukuran semua peranti pengukur kelajuan kenderaan agar selaras dengan peraturan yang ditetapkan mengikut Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan yang dirakam melalui Kamera) 2012, Akta Pengukuran Kebangsaan 2007 dan OIML R91 bagi membantu Kementerian Pengangkutan mencapai objektif untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Sementara itu, Weighbridge Calibration dan Weigh-In-Motion System (Sistem Tentukuran Titi Timbang dan Timbang Secara Bergerak) adalah sistem yang dibangunkan oleh NMIM untuk memantau dan mengawal selia berat maksimum dengan muatan kenderaan-kenderaan motor berpadanan dengan berat yang dinyatakan oleh pihak berkuasa.
 
Sistem ini juga dapat menghindarkan kerosakan dan penambahan kos penyelenggaraan jalan oleh berat maksimum sesuatu kenderaan motor dan ia juga membantu menghindarkan kematian atau kemalangan yang berpunca daripada terlebih muatan oleh kenderaan motor atau apa-apa kerosakan pada jalan.

MyRM Opacity (MyRM Kelegapan) adalah Bahan Rujukan Diperakui untuk keseragaman pengukuran meter asap diesel yang perlu ditentukur setiap tahun seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2000 (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel).

MyRM Opacity dibangunkan bagi menyokong Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan (Akta 675) dan juga Akta Kualiti Alam Sekitar (Akta 127). Bahan Rujukan Diperakui ini akan memastikan setiap meter asap diesel adalah seragam walaupun daripada pelbagai pengeluar berbeza.

NMIM juga telah membangunkan MyRM Tint (MyRM Ketelusan Cahaya) iaitu Bahan Rujukan Diperakui untuk keseragaman pengukuran alat pengukur ketelusan cahaya (tint meter) yang digunakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, PUSPAKOM dan kedai-kedai aksesori kereta.

MyRM Tint menyokong Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan (Akta 675) dan juga Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) bagi memastikan setiap alat pengukur ketelusan cahaya (tint meter) adalah seragam walaupun daripada pengeluar berbeza.

Sementara itu, Sambutan Hari Metrologi Sedunia 2017 telah dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, bersempena dengan Asia Pacific Metrology Programme (APMP) Mid-Year Meetings yang berlangsung mulai hari ini hingga 26 Mei, di sini. Hari Metrologi Sedunia tahun ini bertemakan ‘Pengukuran untuk Pengangkutan’.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Ketua PTB Working Group Asia, Uwe Miesner; Presiden Asia Pacific Legal Metrology Forum (APLMF), Stephen O’Brien dan Pengerusi APMP, Dr Toshiyuki Takatsuji serta Pengarah Kanan NMIM, Dr Osman Zakaria.

Sempena Asia Pacific Metrology Programme Mid-Year Meetings itu, bengkel bertajuk Modernising National Metrology Infrastructures turut berlangsung bagi membolehkan ahli-ahli metrologi dari lebih 15 buah negara berkumpul dan membincangkan isu-isu berkaitan ukuran infrastruktur bagi memenuhi keperluan ekonomi negara masing-masing.

APMP adalah kumpulan Institusi Metrologi Kebangsaan dari rantau Asia-Pasifik yang terlibat dalam meningkatkan kemampuan metrologi serantau melalui perkongsian kepakaran dan pertukaran perkhidmatan teknikal dalam kalangan ahli.

###