Print


(Dari kiri) Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Ketua SIRIM Cawangan Negeri Johor, Zulkefly Songip dan Naib Presiden Perancangan Strategik Kumpulan SIRIM, Goay Peck Sim melawat pameran selepas menyempurnakan Majlis Keterlibatan SIRIM Industri di Johor baru-baru ini.


Siaran Media

SIRIM TAWAR KEPAKARAN TEKNOLOGI KEPADA INDUSTRI DI JOHOR
Dilantik bangunkan Industri Pembuatan Bukan Makanan di Johor

 

JOHOR BAHRU, 26 Mei 2017 – Program Keterlibatan SIRIM-Industri, satu usahasama oleh SIRIM dengan agensi-agensi berkaitan menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti dan daya inovasi industri dan usahawan di Johor.

Bertemakan “Kelestarian Perniagaan di dalam Pasaran yang Mencabar” program ini antaranya menekankan kepada peningkatan produktiviti Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS), Sistem Pengurusan Kualiti, Pembungkusan dan Reka Bentuk Inovatif, Pengukuran dan Perkhidmatan Tentukuran serta Sistem Pengurusan Kualiti.

Program setengah hari yang berlangsung pada Rabu lepas, disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, menghimpunkan 174 wakil dari persatuan industri dan usahawan tempatan dari pelbagai sektor di Johor termasuk industri minyak dan gas, makanan dan minuman, pembuatan dan pembinaan, elektronik serta industri pemprosesan ayam.

Rakan strategik yang turut bekerjasama dengan SIRIM pada program berkenaan adalah SME Corp Malaysia, Pusat Pembangunan Usahawan Johor, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, SME Bank, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Credit Guarantee Corporation.

Prof Ir Dr Ahmad Fadzil di dalam ucapannya berkata, SIRIM telah diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penembusan teknologi dan menaik taraf perniagaan PKS dan mewujudkan ekosistem yang lebih baik.

Katanya, pada tahun ini kerajaan negeri Johor, melalui agensi Pusat Pembangunan Keusahawanan (Entrepreneurial Development Centre) telah melantik SIRIM untuk membangunkan Industri Pembuatan Bukan Makanan di negeri itu.

“Melalui program ini, seramai 40 usahawan PKS dalam bidang pembuatan bukan makanan akan dibangunkan dari aspek kualiti, produktiviti dan penjenamaan. SIRIM berharap bilangan usahawan ini dapat dipertingkatkan setiap tahun bagi memastikan pembangunan PKS berjalan secara mampan di negeri ini,” katanya.

Prof Ir Dr Ahmad Fadzil berkata lagi, SIRIM telah melaksanakan beberapa projek di Johor antaranya projek Teknologi Solar Termal untuk Industri Pemanasan dalam Industri Pemprosesan Ayam (Solar Thermal Technology System for Industrial Heat in Poultry Processing Industry) di Ayer Hitam yang mengaplikasikan teknologi solar termal pada skala industri.

Selain itu, SIRIM turut bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara Pengerang untuk melatih belia tempatan dalam bidang teknologi kimpalan bagi menyokong permintaan tenaga mahir dalam bidang ini bagi fasa pembinaan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

Menurut beliau lagi, SIRIM turut memanjangkan perkhidmatan pengujian dan pemeriksaan bagi projek RAPID di Pengerang khususnya untuk syarikat pembekal besi dan keluli ke tapak projek bagi memudahkan mereka membawa masuk produk tersebut secara sah.

Sementara itu, di Shah Alam, anak syarikat SIRIM Berhad, SIRIM STS Sdn Bhd baru-baru ini telah mengadakan satu sesi rangkaian perniagaan bersama persatuan pedagang dan dewan perniagaan terdiri daripada sektor pembuatan, pengeksportan dan perkhidmatan.

Sesi perkongsian itu diadakan bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kualiti sektor perindustrian serta mendapat maklum balas berkenaan perkhidmatan yang disediakan oleh SIRIM STS Sdn Bhd. Program itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusannya, Azim Ng Abdullah.

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh SIRIM STS Sdn Bhd turut diperkenalkan melalui pembentangan bertajuk Program Pensijilan Personel dan Skim Pengiktirafan Amalan Terbaik SIRIM (SIRIM Personnel Certified Programmes and Best Practices Recognition Schemes), serta Meningkatkan Produktiviti dan Keuntungan melalui Pematuhan Standard (Boosting Productivity and Profit through Standards Compliance).

Selain itu, sesi berkenaan menjadi bagi pihak industri untuk bertukar pandangan dan pengetahuan berkenaan perkhidmatan serta perniagaan yang berkaitan.

 

###