Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani (berdiri tengah) melayan tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan SIRIM 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang berlangsung pada 7 Julai 2017. 


SIARAN MEDIA

 

KUMPULAN SIRIM RAI LEBIH 1,200 TETAMU PADA MAJLIS AIDILFITRI

SHAH ALAM, 7 Julai 2017: Kumpulan SIRIM hari ini meraikan lebih 1,200 orang pelanggan, rakan niaga dan pemegang kepentingan yang terdiri daripada ketua jabatan dan agensi kerajaan, peneraju syarikat korporat, persatuan-persatuan industri, institusi pendidikan tinggi serta pihak media pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan SIRIM 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.
 
Majlis rumah terbuka itu bermula dari jam 2 petang hingga 7 malam telah dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Hadir sama pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya dan Pengerusi SIRIM, Tan Sri Ir Dr Ahmad Tajuddin Ali.
 
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, majlis ini bertujuan meraikan pelanggan-pelanggan Kumpulan SIRIM yang terdiri daripada peneraju korporat, usahawan dan persatuan industri daripada pelbagai sektor termasuklah sektor perkhidmatan, pembuatan, elektrikal dan elektronik, mekanikal, kimia, kejuruteraan awam, automotif, minyak dan gas, makanan dan minuman serta wakil dan kementerian dan agensi yang sentiasa bekerjasama rapat dengan SIRIM Berhad dan anak-anak syarikatnya.
 
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada anda semua yang selama ini menyokong aktiviti Kumpulan SIRIM. SIRIM akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada tuan-tuan dan puan-puan.
 
Sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM yang baru, saya amat mengalu-alukan maklum balas daripada tuan-tuan dan puan-puan, untuk membolehkan kami meningkatkan kualiti perkhidmatan; begitu juga teknologi yang ditawarkan SIRIM untuk memanfaatkan perniagaan anda semua,” katanya.
 
Kumpulan SIRIM terdiri daripada 6 anak syarikat iaitu SIRIM QAS International, SIRIM STS, SIRIM Standards Technology, SIRIM Tech Venture, SIRIM Measurements Technology dan National Precision Tooling. SIRIM juga diperkukuhkan dengan bahagian penyelidikan dan pembangunan bagi teknologi perindustrian iaitu SIRIM Industrial Research; dan National Metrology Institute of Malaysia, badan yang bertanggungjawab ke atas kebolehkesanan pengukuran di Malaysia.
 
Antara peneraju korporat dan industri, wakil kementerian dan agensi yang hadir pada majlis itu ialah dari Proton, PERODUA, Miyazu Malaysia, Persatuan Pengilang Malaysia, Institut Automotif Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, SME Corp, PKNS, Agensi-agensi di bawah MOSTI, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, BOMBA dan Polis.

                                                                                        ###
 
 
Mengenai SIRIM Berhad
Sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, SIRIM Berhad adalah organisasi Penyelidikan dan Teknologi Perindustrian yang utama di negara ini. SIRIM Berhad juga adalah peneraju Kualiti dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Standard dan Penilaian Pematuhan, selaras dengan misinya untuk “menjadi penyedia penyelesaian menyeluruh dalam inovasi kualiti dan teknologi.” www.sirim.my
 
 
Perhubungan Media, SIRIM Berhad:
Ruhil Amani Zainal Abidin, Tel: 603 5544 6770 / 013-2010402 e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Amalia Hasannudin, Tel: 603 5544 5021 / 017-3096519 e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.