1. Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Linggi, Dato’ Abd Rahman Mohd Redza    (empat dari kanan) berkenaan pembungkusan Green- Blue sambil disaksikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kasim (dua dari kanan).


SIARAN MEDIA

TAPAK RINTIS PREMIS MAKANAN HIJAU DAN SISTEM PENCERNAAN ANAEROBIK DILANCAR DI PORT DICKSON

 

PORT DICKSON, 20 JULAI 2017: Projek Mewujudkan Industri Pembungkusan Green-Blue (GB) sebagai langkah memperkasa industri berkenaan melalui pewujudan rantaian nilai industri pembungkusan GB, dilancarkan di sini hari ini melalui Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik.

Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson dipilih menjadi tapak rintis premis makanan hijau di Negeri Sembilan.

Pembungkusan GB adalah teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaikpulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan perniagaan. Di bawah inisiatif ini juga, sistem pencernaan anaerobik turut diperkenalkan di premis makanan hijau yang akan merawat pembungkusan GB bersama sisa makanan untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan pembaikpulih sumber dan setersunya mengurangkan pelepasan gas hijau.

SIRIM, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah dilantik oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai agensi pelaksana bagi projek ini yang melibatkan pembangunan kemahiran dan pengalaman untuk melanjutkan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan pembungkusan GB kepada PKS yang menceburi industri ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Linggi, Dato’ Abd Rahman Mohd Redza. Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson,  Zamri Mat Kasim dan Setiausaha Bahagian Sektor Teknologi Hijau, KeTTHA, Paul Wong.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani berkata, kesemua premis makanan berkenaan akan dibekalkan dengan bekas pembungkusan makanan GB dan sistem pencernaan anaerobik sebagai sistem pengolahan sisa makanan yang berasaskan konsep pembaikpulih sumber untuk tempoh rintis ini.

“Bagi tujuan pensijilan Premis Makanan Hijau, peniaga-peniaga di medan selera terpilih akan menerima khidmat perundingan sebagai persediaan awal sebelum pengauditan oleh badan pensijilan SIRIM QAS International, ini juga termasuk produk-produk syarikat PKS yang akan mendapat pensijilan pembungkusan bekas makanan dan produk eko yang lain pada tahun 2018,” katanya.

Selain, Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson, tiga lagi kawasan yang telah dikenalpasti untuk projek sedemikian adalah Medan Selera Awam USJ7, Subang Jaya, Selangor; Kompleks Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh, Melaka dan Medan Ikan Bakar, Dengkil di Selangor.

 

                                                                               ###