Siaran Media

 

SIRIM- FRAUNHOFER TARIK MINAT 35 PKS DI SABAH

 

KOTA KINABALU, 24 Ogos 2017: Program SIRIM-Fraunhofer berjaya menarik sebanyak 35 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan di Sabah untuk menyertai program berkenaan yang bertujuan meningkatkan produktiviti serta ekonomi perusahaan mereka. 
 
SIRIM sebuah agensi penyelidikan dan teknologi utama negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bekerjasama dengan Fraunhofer Institute, Jerman mewujudkan Program SIRIM-Fraunhofer untuk memberi penekanan kepada pengenalpastian masalah PKS melalui Audit Teknologi dan seterusnya menyelesaikan masalah yang dikenal pasti menerusi perkhidmatan teknologi dan inovasi.
 
Program ‘Meningkatkan Pertumbuhan PKS di Sabah: Program SIRIM–Fraunhofer’  telah disempurnakan oleh Menteri MOSTI, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Hadir sama pada majlis itu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.
 
Program anjuran SIRIM itu telah menghimpunkan 150 PKS dari pelbagai industri antaranya industri makanan dan minuman, perkhidmatan serta pembuatan. Pada majlis itu, SIRIM turut memberi penghargaan di atas penglibatan PKS menyertai Bengkel Inovasi serta penghargaan kepada Penerima Geran melalui empat program iaitu Program Pembungkusan dan Pelabelan; Peningkatan Produktiviti melalui Pensijilan dan Amalan Terbaik; Program Technology Nurture Perusahaan Mikro dan Kecil; Program Technology Uptake dan Program Audit Teknologi.
 
Wilfred di dalam ucapan perasmiannya, menyeru industri dan perusahaan di Sabah untuk merebut peluang yang diberikan bagi menambah baik produk dan proses pengeluaran yang ditawarkan melalui Program SIRIM-Fraunhofer.
 
“Program ini turut menyediakan sokongan dana berbentuk geran dari kerajaan untuk PKS, dana bagi Audit Teknologi untuk mengenal pasti jurang teknologi dan inovasi dalam syarikat PKS, seterusnya menentukan penyelesaian inovatif yang sesuai bagi menangani keperluan khusus dan isu-isu yang dihadapi oleh mereka,” katanya.
 
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, SIRIM menawarkan Bengkel Inovasi SIRIM-PKS untuk keperluan usahawan di Sabah yang mendedahkan PKS dengan metodologi dan pengetahuan teknik dalam pelaksanaan pengurusan inovasi.
 
“Menerusi bengkel ini, syarikat PKS dapat mempelajari kaedah berkesan yang membolehkan mereka membuat pembaharuan dalam produk yang dikeluarkan. Mereka juga berpeluang menyertai Audit Teknologi bagi mengenal pasti permasalahan sedia ada, sekali gus membangunkan pelan tindakan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan teknologi melalui mekanisasi, automasi dan penskalaan.
 
“Sehingga kini, 446 syarikat PKS telah menjalani Audit Teknologi dan SIRIM telah melaksanakan projek intervensi melalui adaptasi teknologi dan peningkatan tahap automasi serta mekanisasi dalam proses pengeluaran mereka,” katanya.
 
Sementara itu, SIRIM bakal membangunkan standard baru bagi Kopi-O yang boleh digunakan pengusaha kopi di Sabah, iaitu Tataamalan (Code of Practice) bagi memproses Kopi-O yang akan memberi manfaat kepada pengusaha atau pengilang Kopi O, pengedar dan penjual Kopi O, institut penyelidikan awam dan swasta serta pengguna.
 
Standard yang dijangka siap dibangunkan pada Mac 2018 boleh dijadikan panduan oleh pengusaha dalam pemprosesan Kopi-O sebagai amalan dan garis panduan untuk mencapai produk yang selamat dan berkualiti tinggi selain meningkatkan kecekapan pemprosesan produk yang lebih berkualiti dengan kebolehpasaran yang lebih baik
 
Program SIRIM-Fraunhofer dilaksanakan bermula pada tahun 2015 dengan memberi penekanan kepada pengenalpastian masalah PKS melalui Audit Teknologi dan seterusnya menyelesaikan masalah yang dikenal pasti melalui perkhidmatan teknologi dan inovasi. SIRIM bekerjasama dengan Fraunhofer Institute, Jerman bagi tujuan perkongsian strategik serta penggunaan ekosistem inovasi Jerman kepada industri PKS di Malaysia. Kerjasama ini juga menyasarkan penggembelengan penyelidikan dan pembangunan teknologi tercanggih dari Fraunhofer dan SIRIM kepada PKS tempatan ke arah industri berteknologi tinggi.
 

                                                                                           ###