Usahawan Bimbingan ECER-SIRIM Menang Dua Anugerah

Syarikat Irash Trading berjaya memenangi dua anugerah pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan baru-baru ini. Syarikat berkenaan memenangi tempat pertama anugerah Produk Hasil Industri Tani bagi kategori pembungkusan produk Muruku Asli dan memenangi tempat ketiga bagi produk Muruku Kacang Pea.

Syarikat tersebut merupakan usahawan di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Entrepreneur ECER- SIRIM di bawah Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Keselamatan (PSDC), SIRIM.  

Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan telah diadakan di Stadium Kota Baharu bermula dari 30 Oktober sehingga 5 November 2017. Program telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan, Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

SIRIM melalui PSDC selaku pelaksana Program Pembangunan Keusahawanan Enterpreneur ECER -  SIRIM yang dibiayai oleh ECERDC berperanan membimbing usahawan berteraskan peningkatan dan pengurusan kualiti, penjenamaan dan pemantauan berterusan.

Antara latihan yang diberikan oleh SIRIM kepada usahawan-usahawan program ini adalah Pengurusan Kualiti; Pensijilan MeSTI dan Halal; Pengurusan Kewangan dan Penyediaan Pelan Perniagaan; Pengurusan Pemasaran; Promosi; Bimbingan Kawalan Kualiti Produk; Peningkatan Imej Pembungkusan Produk; Pembangunan dan Pendaftaran Jenama; Pengujian Fakta Makanan; dan Percetakan Bahan Pembungkusan.

End/