Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Puasa Md Taib (tiga dari kanan) mencuba mesin pencernaan anaerobik yang diletakkan di Medan Selera Dengkil, bersama beliau Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani (dua dari kanan), semasa Majlis Pelancaran Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik di Dengkil, Sepang. 

KENYATAAN AKHBAR

 

MAJLIS PELANCARAN TAPAK RINTIS PREMIS MAKANAN HIJAU DAN
                                                               SISTEM PENCERNAAN ANAEROBIK

7 November 2017, Sepang, Selangor : Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah memulakan Projek Mewujudkan Industri Pembungkusan Green Blue bermula pada pertengahan tahun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-sebelas. SIRIM Berhad telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek ini berdasarkan kepakaran dan keupayaan SIRIM dalam penyelidikan dan pembangunan produk-produk baharu.

Di bawah projek ini, disasarkan 4 premis makanan hijau diwujudkan dan 6 usahawan kecil sederhana dilatih bagi pengeluaran pembungkusan Green Blue. Premis makanan hijau ini adalah premis yang menjalankan operasinya mengikut amalan hijau antaranya melalui penggunaan bekas makanan dan juga bahan pencuci mesra alam. Kawasan premis tersebut juga disertakan dengan sistem pencernaan anaerobik untuk merawat sisa makanan dan juga pembungkusan mesra alam menjadi biogas dan biobaja yang boleh digunakan semula sebagai sumber tenaga elektrik di kawasan premis serta baja bagi tanaman di kawasan persekitaran. Inisiatif ini merupakan satu kaedah pendekatan pembaikpulih sumber yang menyokong usaha pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

Di bawah projek ini 4 lokasi projek rintis telah dikenal pasti dan Medan Selera Dengkil di bawah Majlis Perbandaran Sepang merupakan tapak rintis keempat. Sebelum ini, majlis perasmian tapak rintis telah diadakan di Medan Ikan Bakar Kampung Gelam Port Dickson, Medan Selera Kompleks Melaka Mall dan Medan Selera USJ 7, Subang Jaya Selangor.  Majlis pelancaran pada hari ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Puasa bin Md Taib, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang. Turut hadir ke majlis ini adalah En. Asdiryhme bin Abdul Rasib, Setiausaha Bahagian, Bahagian Regulatori dan Pembangunan, Sektor Teknologi Hijau, KeTTHA dan YBhg. Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil bin Mohamad Hani, Presiden  dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad.

Pada majlis itu, seramai 34 peniaga di Medan Selera Dengkil telah dibekalkan dengan pembungkusan Green Blue untuk digunakan dalam perniagaan mereka. Program Peningkatan Keupayaan bersama pihak berkuasa tempatan dan peniaga medan selera turut diadakan di awal majlis tersebut dengan topik yang dibentangkan seperti Pembungkusan Green-Blue, Pengurusan Sisa Makanan untuk Penjanaan Biogas, Pelabelan Eko Premis Makanan Mesra Alam dan Program Kitar Semula Minyak Masak Terpakai

Melalui 4 lokasi tapak rintis ini, sebanyak 65 peniaga telah mengambil bahagian dalam projek ini. Peniaga yang terpilih akan menerima khidmat rundingan sebelum pengauditan dijalankan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Penyampaian pensijilan pelabelan Eko Premis Makanan Mesra Alam akan dilaksanakan pada tahun 2018.

Secara keseluruhannya projek ini berupaya untuk menghasilkan usahawan dan produk baharu dalam bidang teknologi hijau. Melalui pewujudan premis makanan hijau, penghantaran sisa ke tapak pelupusan dapat dikurangkan. Dianggarkan sebanyak RM4.7 juta kos penghantaran sisa ke tapak pelulupusan dan lebih kurang 9 ribu tan Co2eq dapat dijimatkan dalam tempoh 10 tahun operasi sistem pencernaan anaerobik. Melalui pengenalan pembungkusan Green Blue pula, dianggarkan 30% penggunaan polisterin dapat dikurangkan di kawasan bandar besar.

 

  •                                                                            Tamat -

 

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)

7 November 2017