Print





PUTRAJAYA, 10 Januari 2017 – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hari ini melancarkan satu inisiatif baru iaitu Projek Mewujudkan Industri Pembungkusan Green-Blue (GB) sebagai langkah memperkasa industri berkenaan melalui pewujudan rantaian nilai industri pembungkusan GB.

Pembungkusan Green-Blue adalah teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaikpulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan perniagaan.

 

Inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang menerima pembiayaan sebanyak RM10 juta itu bertujuan melestarikan industri penghidangan makanan ini serta menggalakkan peralihan kepada pembungkusan mesra alam dan mengurangkan pembuangan pembungkusan makanan ke tapak pelupusan sisa pepejal.

 

Agensi penyelidikan dan teknologi perindustrian, SIRIM telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek perintis yang melibatkan pembangunan kemahiran dan pengalaman untuk melanjutkan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan pembungkusan GB kepada PKS yang menceburi industri ini.

 

Pelancaran inisiatif itu disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Senator Dato' Seri S.K Devamany di sini. Turut hadir adalah Ketua Setiausaha KeTTHA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof.

Di bawah inisiatif ini juga, sistem pencernaan anaerobik akan diperkenalkan di premis makanan hijau yang akan merawat pembungkusan GB bersama sisa makanan untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan pembaikpulih sumber dan seterusnya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.   

Beberapa premis makanan yang terpilih akan dibekalkan bekas pembungkusan makanan GB sepanjang tempoh rintis projek ‘Premis Makanan Hijau’, serta dibekalkan satu sistem pencernaan anaerobik untuk pengolahan sisa makanan.

Lokasi premis makanan berkenaan yang akan diseliakan empat (4) pihak berkuasa tempatan iaitu:

 

Di bawah inisiatif ini juga, enam (6) PKS yang menyertai Projek Rintis Pengeluaran Pembungkusan GB, akan menggunakan sistem berautomasi pembungkusan GB untuk menghasilkan pembungkusan GB. Syarikat berkenaan adalah: Suria Press Sdn Bhd, Free the Seed Sdn Bhd, Nets Print Sdn Bhd, Reka Cetak Sdn Bhd, Percetakan Watan Sdn Bhd dan Gempita Majus Sdn Bhd.

 

Pada majlis berkenaan, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIRIM dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi kerjasama membangunkan teknologi rawatan sisa makanan dengan menggunapakai teknologi sistem pencernaan anaerobik milik SIRIM. SIRIM diwakili Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, Dato’ Dr. Zainal Abidin Mohd Yusof manakala SWCorp diwakili Ketua Pegawai Eksekutif  Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed.

 

- Tamat  -