Siaran Media

SIRIM TAWAR KEPAKARAN TEKNOLOGI KEPADA INDUSTRI DI PAHANG

Kuantan, 28 Februari 2017- Program Keterlibatan SIRIM-Industri, satu usahasama oleh SIRIM dengan agensi-agensi berkaitan menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Pahang.

Bertemakan “Kelestarian Perniagaan di dalam Pasaran yang Mencabar” program ini antaranya menekankan kepada Peningkatan Produktiviti perusahan kecil dan sederhana (PKS), Sistem Pengurusan Kualiti, Pembungkusan dan Reka Bentuk Inovatif, Pengukuran dan Perkhidmatan Tentukuran serta Sistem Pengurusan Kualiti.

Program sehari ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin, menghimpunkan lebih 100 wakil dari persatuan industri dan usahawan tempatan dari pelbagai sektor di Pahang termasuk industri carigali, perlogaman, automotif, makanan dan minuman, kosmetik dan herba serta kraftangan.

Rakan strategik yang turut bekerjasama dengan SIRIM pada program ini adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), SME Corporation, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Dato’ Sri Haji Shahiruddin dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan negeri Pahang berharap agar program penembusan teknologi yang diusahakan oleh SIRIM dapat memberi kemahiran teknologi yang baru kepada usahawan agar menjadi lebih berdaya saing.

“Ini bukan saja dapat meningkatkan lagi produktiviti, daya saing dan tahap inovasi dalam kalangan para usahawan, tetapi juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya.

Katanya, usahawan juga perlu membuka minda untuk menerapkan inovasi dan teknologi baru dalam sistem pembuatan mereka agar dapat menembusi pasaran global dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan.



Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Dr Zainal Abidin Mohd Yusof berkata, SIRIM, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berharap dapat bekerjasama dengan industri tempatan dalam penghasilan bio gas asli, melalui teknologi pengeluaran yang dihasilkannya.

“Melalui kejayaan SIRIM menghasilkan Bio Gas Asli (BioNG), iaitu gas asli yang pertama daripada efluen kilang minyak sawit yang terhasil di kilang-kilang sawit sebagai bahan api menggantikan diesel, petrol dan juga gas asli, kami yakin usaha ini mampu meningkatkan produktiviti PKS melalui penggunaan teknologi hijau.

“BioNG telah diuji prestasinya sebagai bahan api automotif yang boleh digunakan sebagai bahan api alternatif untuk kenderaan selain meningkatkan pendapatan kilang kelapa sawit negara, penggunaan gas BioNG juga mampu membantu mengurangkan impak kepada persekitaran global dan tempatan,”katanya.

Selain itu, katanya, Program Audit Teknologi SIRIM-Fraunhofer iaitu program dengan kerjasama Fraunhofer Institute, Jerman membolehkan SIRIM membantu usahawan meningkatkan keupayaan pengurusan teknologi.

“Program ini dapat membantu meningkatkan kemahiran dan keupayaan teknologi usahawan melalui mekanisasi, automasi dan penskalaan. Hasil daripada audit pula dapat membantu mereka menubuhkan pelan tindakan untuk meningkatkan produktiviti dan keupayaan pengurusan teknologi serta meningkat naik dalam rantaian nilai,” ujar beliau.

Menurut Dato’ Dr Zainal Abidin, sehingga ini, sebanyak 336 audit teknologi telah dijalankan ke atas syarikat PKS dan daripada jumlah itu, 75 syarikat sedang melaksanakan projek intervensi melalui adaptasi teknologi dan peningkatan tahap automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Presiden Perancangan Strategik Kumpulan SIRIM, Goay Peck Sim.

Sebanyak lapan syarikat PKS sedang melaksanakan projek intervensi melalui penerapan teknologi baru dalam pembangunan produk dan proses. Sebanyak 39 syarikat kecil dan mikro mendapat manfaat melalui pembungkusan dan pelabelan baharu yang memenuhi kehendak pasaran dan akta pelabelan yang berkaitan, manakala 26 syarikat kecil dan mikro juga sedang melaksanakan intervensi berkaitan dengan automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran.

                                                                                    ###