1. Goay Peck Sim ( empat dari kiri) memberi penerangan kepada Datuk Sulaiman (dua dari kanan) berkenaan program SIRIM- Fraunhoufer.


 

Siaran Media

 

SIRIM TAWAR KEPAKARAN TEKNOLOGI KEPADA INDUSTRI DI MELAKA

 
Ayer Keroh, 25 April 2017- Program Keterlibatan SIRIM-Industri, satu usahasama oleh SIRIM dengan agensi-agensi berkaitan menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti dan daya inovasi industri dan usahawan di Melaka.

Bertemakan “Kelestarian Perniagaan di dalam Pasaran yang Mencabar” program ini antaranya menekankan kepada peningkatan produktiviti perusahan kecil dan sederhana (PKS), Sistem Pengurusan Kualiti, Pembungkusan dan Reka Bentuk Inovatif, Pengukuran dan Perkhidmatan Tentukuran serta Sistem Pengurusan Kualiti.

Program sehari itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian Negeri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali, menghimpunkan lebih 100 wakil dari persatuan industri dan usahawan tempatan dari pelbagai sektor di Melaka termasuk industri perlogaman, makanan dan minuman, kosmetik serta pembuatan dan pembinaan.

Rakan strategik yang turut bekerjasama dengan SIRIM pada program ini adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, SME Corp, SME Bank, MARA, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Melaka.

Datuk Haji Sulaiman dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan Melaka berharap bahawa program penembusan teknologi yang diusahakan SIRIM dapat meningkatkan produktiviti syarikat di sini untuk lebih berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Program ini bukan sahaja dapat meningkatkan lagi produktiviti, daya saing dan tahap inovasi dalam syarikat, malah dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata lagi, pemain industri terutamanya syarikat IKS, juga perlu berusaha untuk memajukan diri dan mempelajari lebih banyak teknologi baru serta menjadi lebih inovatif bagi memastikan strategi dan usaha kerajaan dapat memacu transformasi negara.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Profesor Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, SIRIM, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berharap dapat bekerjasama dengan industri tempatan dalam menerokai program pembungkusan Green-Blue (GB), untuk menggalakkan peralihan kepada pembungkusan mesra alam bagi mengurangkan pembuangan sisa makanan dan pembungkusan makanan ke tapak pelupusan.  

“Melalui kejayaan SIRIM menghasilkan pembungkusan GB, ia menyokong pertumbuhan industri hijau melalui sistem pencernaan anaerobik di mana sisa makanan dirawat untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan pembaikpulih sumber bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“SIRIM kini sedang bekerjasama dengan kerajaan Melaka dalam projek penetapan penggunaan Pensijilan ECO Label 1 dan ECO Label 9 sebagai standard Biodegradasi negeri Melaka bagi kempen Tanpa Beg Plastik dan Polisterin di negeri ini,”katanya.

Selain itu, beliau berkata lagi, Program Audit Teknologi SIRIM- Fraunhofer iaitu program dengan kerjasama Institut Fraunhofer, Jerman, membolehkan SIRIM membantu usahawan menigkatkan keupayaan pengurusan teknologi.

“Program ini dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan teknologi melalui mekanisasi, automasi dan penskalaan. Hasil daripada audit pula dapat membantu usahawan membentuk pelan tindakan untuk meningkatkan produktiviti dan keupayaan pengurusan teknologi serta meningkat naik dalam rantaian nilai,”ujarnya lagi.

Menurut Profesor Ir. Dr. Ahmad Fadzil, sehingga kini, sebanyak 336 audit teknologi telah dijalankan ke atas syarikat PKS dan SIRIM telah melaksanakan projek intervensi melalui adaptasi teknologi dan peningkatan tahap automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Presiden Perancangan Strategik Kumpulan SIRIM, Goay Peck Sim.

Selain itu, beberapa projek intervensi melalui penerapan teknologi baru dalam pembangunan produk dan proses turut dilaksanakan.

 

###