KOTA KINABALU, 1 April 2018:
Minggu Sains Negara peringkat Negeri Sabah anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diadakan di sini bermula 1 hingga 2 April, bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan sains dan merapatkan jurang antara sains dan masyarakat dengan menampilkan pelbagai program yang menarik dan interaktif.
 

Pelbagai aktiviti interaktif diadakan antaranya pertandingan mewarna “Colours of TN50” untuk kanak-kanak, Battlebots, kuiz sains dan teknologi, aktiviti memasang model kereta serta Science Cinema. Aktiviti ‘hands-on’ lain yang boleh dicuba oleh pelajar dan orang ramai termasuk kaedah sains untuk membuat aiskrim dan kaedah membuat warna pelangi. 

 

Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sabah diterajui oleh SIRIM, dan disokong agensi MOSTI lain seperti Jabatan Kimia dan Jabatan Meteorologi Malaysia, selain agensi negeri, institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

 

Majlis Perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Sabah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

 

Wilfred berkata, kementeriannya berharap agar Minggu Sains Negara dapat meningkatkan pembangunan modal insan dan menarik minat pelajar untuk memilih bidang dan jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai kerjaya serta mengiktiraf sumbangan saintis, ahli akademik serta individu dalam mempromosi sains.

 

“Kementerian juga berharap program ini dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk mencapai Dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar memilih aliran sains dan teknikal berbanding 40 peratus pelajar sastera. Dasar ini berperanan bagi menyediakan modal insan berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang STEM yang mencukupi pada masa hadapan.

 

“Melalui usaha penganjuran Minggu Sains Negara, ia juga dapat membantu inisiatif kerajaan untuk menghasilkan tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik yang amat diperlukan pada masa akan datang,” katanya.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata dalam ucapannya, turut menyampaikan penghargaan terutama kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kerajaan, sekolah, IPT dan NGO dalam menjayakan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sabah.

 

Bertemakan Negaraku Berinovasi, Minggu Sains Negara yang julung kali diadakan berlangsung secara serentak di seluruh negara bermula 1 hingga 7 April 2018 telah mendapat kerjasama Kerajaan Negeri, pelbagai Kementerian dan Jabatan. Lokasi utama pelancaran akan berlangsung di Pusat Sains Negara pada 3 April 2018, jam 8.00 malam.

 

Penganjuran program ini adalah selari dengan sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO) sejak tahun 2002.

 

 

###