Q1.Latar belakang SimbionteA

 

SimbionteA adalah singkatan bagi “SIRIM Biogas & Tenaga Alternatif” yang merupakan penjenamaan bagi teknologi “Anaerobic Digestion” (AD) yang dibangunkan oleh penyelidik dan jurutera SIRIM.

SIRIM mempunyai kepakaran sepanjang dua dekad dalam memanfaatkan sisa organik terutamanya sisa buangan industri untuk penghasilan biogas bagi pelbagai kegunaan seperti penjanaan kuasa elektrik dan haba, bahan api kenderaan dan juga gas untuk memasak.

Hanya kebelakangan ini, SIRIM mengorak langkah setapak lagi dalam memanfaatkan sumber sisa makanan dari rumah atau premis makanan kepada penghasilan biogas dan aplikasi kepada penjanaan tenaga elektrik.

Susulan daripada perancangan kerajaan untuk mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah bermula 1 September 2015.

Berikutan dengan amalan pengasingan ini, dijangkakan jumlah sisa organik terutama sisa makanan yang berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai bahan mentah untuk penghasilan tenaga yang dibaharui di samping bahan biobaja.

SIRIM telah mengambil inisiatif menyediakan penyelesaian lestari bagi sisa makanan untuk penghasilan tenaga berdasarkan keperluan setempat.

 

Q2.Bilakah sistem ini mula dibangunkan dan berapa lama tempoh sistem ini dibangunkan?

Sistem AD dibangunkan berdasarkan pengalaman SIRIM dua dekad yang lalu di dalam bidang ini. Konsep AD SimbionteA telah dibangunkan lima tahun lepas namun tiada sambutan sehinggalah wujud rancangan kerajaan untuk melaksanakan Peraturan Amalan Pengasingan Sisa Pepejal. Terdapat minat daripada pelbagai pihak tetapi tertumpu kepda teknologi pembekal luar negara. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah membuka peluang dan memberi kepercayaan kepada SIRIM dalam merealisasikan usaha membangunkan sistem ini.

 

Q3.Siapakah yang akan mendapat manfaat melalui projek ini?

Sistem AD SimbionteA untuk sisa makanan yang dibangunkan akan meningkatkan usaha kerajaan dan kerajaan tempatan dalam memastikan masyarakat dan peniaga berusaha untuk mengamalkan pengasingan sisa makanan dengan lebih baik di tempat sisa dijanakan kerana ianya penting untuk memastikan sisa organik ini dapat dirawat dengan berkesan dan tenaga terhasil dapat digunakan untuk kawasan setempat.

 

Q4.Berapa jumlah lokasi ketika ini yang menggunakan SimbionteA, dan adakah SIRIM bercadang untuk memperkenalkan projek ini di lokasi lain?

Selain yang terdapat di Kompleks Biomass Bandar Bukit Puchong MPSJ, empat lagi dalam pembinaan dan dijangka siap Ogos 2017.

Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson; Medan Selera Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh; Medan Selera USJ 7, Subang Jaya; Medan Selera Dengkil.

 

Q5.Bagaimanakah sistem ini dapat membantu kelestarian alam sekitar?

Secara keseluruhan sistem AD SimbionteA boleh digunakan untuk merawat sisa organik dari industri, perladangan dan sisa pepejal rumah (sisa dapur).

Bagi sisa makanan dari rumah atau premis makanan, ia dapat mengurangkan jumlah sisa organik ke tapak pelupusan sampah dan pencemaran gas rumah hijau.

SIRIM juga mempunyai kepakaran bukan sahaja dalam penghasilan tenaga elektrik dari sumber biogas tetapi juga telah membangunkan teknologi penulenan, penyimpanan dan aplikasi akhir biometana sebagai bahan api kenderaan dan gas memasak. Secara tidak langsung, SIRIM menyediakan teknologi pilihan untuk pihak-pihak tertentu dalam membantu dalam melestarikan persekitaran.

 

Q6.Bagaimana sistem ini berfungsi?

Menggunakan kaedah biologi pencernaan secara anaerobik (tanpa udara) untuk mengurai sisa organik kepada biogas yang tinggi kandungan metana. Manakala bahan sampingan “digestate” boleh digunakan sebagai baja kompos. Biogas terhasil perlu melalui proses pengurangan gas sampingan hidrogen sulfida yang merupakan gas berasid sebelum ia boleh digunakan untuk menggerakkan enjin gas bagi penjanaan elektrik setempat.

 

Q7.Berapa jumlah tenaga yang boleh dihasilkan?

Data yang diperolehi dari sistem yang sedang beroperasi di Puchong menunjukkan penghasilan bersamaan dengan 150 m3 biogas bagi setiap ton sisa makanan yang dicerna. Dengan kuantiti biogas sebanyak ini cukup untuk menggerakkan enjin gas dengan kapasiti 10 kW dan dapat membekalkan elektrik ke 10 buah rumah sebagai perbandingan asas.

 

Q8.Bagaimana masyarakat boleh membantu di dalam kelestarian alam sekitar?

Komuniti setempat dapat memastikan pengumpulan sisa makanan yang berkualiti dari segi pengasingan yang baik tanpa bahan yang tidak boleh dicerna oleh mana-mana sistem AD. Bahan seperti plastik bungkusan, utensil yang lain akan menyebabkan sistem “feeder” akan tersumbat atau tersangkut dan sama sekali tidak membantu pencernaan biologi AD.