Q1. Sila terangkan lebih lanjut berkenaan projek ‘Pemerkasaan Industri Produk Hasilan Kelulut’ yang dibangunkan oleh SIRIM?

Ia adalah projek koloborasi SIRIM, Institut Genome Malaysia (MGI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertujuan untuk memperkenalkan penggunaan Internet of Things atau Internet untuk segalanya (IoT) sebagai salah satu cara untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran madu kelulut.

 

Q2. Bagaimana SIRIM melihat potensi industri ini?

SIRIM melihat industri ini berpotensi besar dan perlu dimajukan berikutan ia semakin mendapat tempat dan permintaan yang tinggi daripada masyarakat. Permintaan madu kelulut dari luar negara seperti Jepun, Korea dan Timur Tengah juga agak tinggi.

Kebanyakkan penternak mengusahakan kelulut secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri dan selebihnya dijual. Tidak ramai yang mengusahakan secara komersil kerana takut tidak mampu untuk membekalkan madu sekiranya ada permintaan yang banyak.

 

Q3. Teknologi apa yang SIRIM gunakan di dalam projek ini dan sila terangkan lebih lanjut berkenaan Sistem Maklumat Bersepadu Kelulut?

SIRIM menggunakan teknologi Internet of Things atau Internet untuk segalanya (IOT) dan rangkaian sensor tanpa wayar (WSN) di mana satu alat peranti IoT yang dipasang pada log kelulut akan mengukur data suhu dan kelembapan dalaman log kelulut secara berkala dan automatik dan menghantar data-data tersebut ke Sistem Maklumat Integrasi Bersepadu (KIIS).

Q4. Apa itu KIIS?

KIIS menggunakan pangkalan data yang berpusat di Cloud Server.  Data-data ini perlu dipantau agar habitat kelulut berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk pembiakan kelulut, seterusnya dapat meningkatkan produktiviti dengan menghasilkan madu propolis dan roti lebah yang banyak.

Sekiranya suhu dalaman log tinggi, penternak akan mendapat notis amaran melalui aplikasi mobil yang telah dibangunkan. Aplikasi mobil ini juga menggunakan teknologi QR (Quick Response) untuk mendaftarkan log kelulut ke KIIS untuk tujuan perekodan dan lokasi pemetaan.

Hasil tuaian produk kelulut sama ada madu, propolis dan roti lebah untuk setiap log juga direkodkan bersesuaian dengan keperluan Standard Malaysia Amalan Pertanian Baik: Kelulut.

Aplikasi mobil akan menghantar data-data tersebut ke KIIS di mana analisa data dan laporan berkaitan produktiviti produk hasilan kelulut dapat dijana secara mudah dan lancar.

SIRIM juga telah membangunkan alat tuaian madu yang mudah alih, ringan dan tidak berbuih. Alat ini menggunakan bateri Li Ion yang ringan dan boleh dicaj semula, melalui alatan tuaian ini penternak dapat menuai dengan lebih mudah. 

Q5. Malaysian Standard berkenaan Kelulut?

MS 2683:2017 - KELULUT (STINGLESS BEE) HONEY - SPECIFICATION, 2017

MS 2679:2017 - AMALAN PERTANIAN BAIK (APB) - PEMELIHARAAN LEBAH (TRIBUS APINI) DAN KELULUT (TRIBUS MELIPONINI)

Standard ini boleh diperolehi di Kaunter Jualan Standard SIRIM atau www.msonline.gov.my

Q6. Jenis latihan yang disediakan oleh SIRIM berkaitan kelulut ini?

Program ini menawarkan :

Program peningkatan produk (pelabelan dan pembungkusan).

Program kesedaran produk kelulut mengikut amalan terbaik penternakan kelulut.

Program R&D/Pengujian Saintifik di makmal (kolaborasi dengan universiti/RI) bagi setiap spesis kelulut.

Program latihan pembangunan produk hiliran.

Program pembangunan pembuatan produk kosmetik berasaskan propolis

Program jaringan industri (industry networking among SMEs) dan pelancaran produk.

 

Q7. Berapa ramai pengusaha kelulut yang telah menyertai projek ini?

Sehingga kini terdapat tiga penternak kelulut iaitu di kawasan berikut:

Jelebu, Negeri Sembilan; Kuala Lipis, Pahang danTanjung Malim, Perak

Q8. Bagaimana pengusaha kelulut boleh menyertai projek ini?

Pengusaha perlu mempunyai log yang melebihi 100 buah.

Kawasan penternakan mempunyai liputan rangkaian telefon.

Pengusaha perlu membenarkan pihak MGI membuat pengujian ketulenan madu sepanjang projek ini berjalan.

Membenarkan tapak mereka digunakan untuk pengujian peranti IoT selama tiga tahun.

Q9. Apakah harapan SIRIM melalui pengenalan teknologi ini kepada pengusaha kelulut?

Aplikasi sistem berteknologi IoT dalam ternakan kelulut dapat membantu pengusaha dalam meningkatkan produktiviti produk hasilan kelulut. Ianya dapat meningkatkan pendapatan pengusaha di samping mengetengahkan pengeluaran madu tempatan sebagai salah satu komoditi negara.

SIRIM berharap melalui teknologi ini, era pertanian digital dapat diperkembangkan dan pengusaha-pengusaha kelulut berpeluang untuk bersaing dengan negara lain dalam pasaran global.