Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali (empat dari kiri), dan  Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir. Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani (tiga dari kiri) beramah mesra bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Nur Kasih Selangor pada Majlis Iftar Kumpulan SIRIM yang diadakan pada 31 Mei 2018 di Dewan Serbaguna SIRIM. 

SIRIM SANTUNI 50 ANAK-ANAK YATIM PADA MAJLIS IFTAR KUMPULAN

SHAH ALAM, 31 Mei 2018: SIRIM Berhad, sebuah agensi penyelidikan dan teknologi utama negara hari ini menceriakan sambutan Ramadhan dengan meraikan 50 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Nur Kasih Selangor, pada Majlis Iftar Kumpulan SIRIM di sini.

Pada majlis yang turut disertai ahli Lembaga Pengarah, pengurusan kanan dan seramai 300 orang anggota kerja Kumpulan SIRIM itu, sumbangan bernilai RM30,000 turut diserahkan kepada pertubuhan kebajikan berkenaan selain baju dan duit raya kepada anak-anak kurang bernasib baik itu.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SIRIM, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir. Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Prof Ir Dr Ahmad Fadzil berkata, majlis iftar itu adalah sebahagian daripada program sepanjang bulan Ramadhan di SIRIM yang antaranya terdiri daripada agihan kurma dan bubur lambuk, ceramah perdana setiap hari Jumaat dan Program Tazkirah Ramadhan setiap hari Isnin hingga Khamis.

“Di samping itu, ada juga donation drive (kutipan sumbangan) bagi membantu saudara Muslim di bumi Palestin dengan kerjasama Aman Palestine, serta “Quran Hour” di Surau SIRIM yang dapat menguatkan lagi jati diri anggota kerja ke arah Transformasi Diri, seperti mana yang dianjurkan dalam SIRIM Cultural Beliefs yang bertunjang kepada cara kita berfikir dan bertindak,” katanya.

Majlis Iftar Kumpulan SIRIM adalah aktiviti tahunan yang diadakan bagi mengimarahkan bulan Ramadhan. Pada majlis itu turut diadakan tazkirah Ramadhan, solat Maghrib, Isyak dan Tarawikh berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Omar Abdul Hamid.