Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amirudin Shari (tengah) sedang memotong kek bersama Pengerusi SIRIM, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali (dua dari kanan) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani  (dua dari kiri), sambil disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah SIRIM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin (kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah SIRIM, Saji M.K. Raghavan (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Raya Kumpulan SIRIM 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, pada Jumaat.

 

KUMPULAN SIRIM RAIKAN PELANGGAN SEMPENA AIDILFITRI

SHAH ALAM, 29 Jun 2018: Kumpulan SIRIM hari ini meraikan lebih 1,100 orang pelanggan, rakan niaga dan pemegang kepentingan pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan SIRIM 2018, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Majlis rumah terbuka yang bermula dari pukul 2 hingga 6 petang dihadiri oleh ketua-ketua agensi kerajaan, peneraju syarikat korporat, usahawan dan persatuan industri daripada pelbagai sektor termasuklah sektor perkhidmatan, pembuatan, elektrikal dan elektronik, mekanikal, kimia, kejuruteraan awam, automotif, minyak dan gas, makanan dan minuman, institusi pendidikan tinggi serta pihak media yang sentiasa bekerjasama rapat dengan SIRIM Berhad dan anak-anak syarikatnya.

Tetamu majlis diraikan oleh Pengerusi SIRIM, Tan Sri Ir Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani selaku tuan rumah. Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Selangor yang baru dilantik, Amirudin Shari.
 
Kumpulan SIRIM memperkenalkan visi baharu pada tahun ini iaitu “Best Partner for Innovation” atau Rakan Terbaik Untuk Inovasi dan misi terbarunya  “Menyediakan Inovasi yang Berkualiti dan Lestari kepada Industri, Kerajaan dan Masyarakat” selaras dengan usaha kerajaan memacu negara menuju Revolusi Perindustrian 4.0.

Kumpulan SIRIM terdiri daripada tujuh anak syarikat iaitu SIRIM QAS International, SIRIM STS, SIRIM Standards Technology, SIRIM Tech Venture, SIRIM Measurements Technology, National Precision Tooling dan Granulab. SIRIM juga diperkukuhkan dengan bahagian penyelidikan dan pembangunan bagi teknologi perindustrian iaitu SIRIM Industrial Research; dan National Metrology Institute of Malaysia, badan yang bertanggungjawab ke atas kebolehkesanan pengukuran di Malaysia.