Sebahagian peserta yang hadir pada Program Peningkatan PKS dalam Sektor Pembuatan yang diadakan di Ibu Pejabat SIRIM di Shah Alam pada 19 Oktober 2018, Jumaat.

Siaran Media

 

SIRIM ANJUR PROGRAM PENINGKATAN PKS DALAM SEKTOR PEMBUATAN

640 Syarikat Jalani Audit Teknologi di bawah Program SIRIM-Fraunhofer

 

SHAH ALAM, 21 Okt 2018: SIRIM sebuah agensi penyelidikan utama negara di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), telah menganjurkan ‘Peningkatan PKS Melalui Program SIRIM Fraunhofer’ pada 19 Oktober lalu yang memberi tumpuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor perkilangan.

Lebih 300 peserta didedahkan kepada pelbagai topik berkaitan inovasi makanan dan perkilangan bagi menggalakkan penyertaan PKS dalam Program SIRIM-Fraunhofer, untuk meningkatkan daya saing mereka.

Program separuh hari itu dirasmikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani yang diadakan di Ibu Pejabat SIRIM di sini.

Prof Ir Dr Ahmad Fadzil dalam ucapannya berkata, program itu diharap dapat dijadikan platform untuk mencari penyelesaian dalam menangani segala permasalahan dan isu yang dihadapi oleh PKS dalam sektor perkilangan melalui sesi jaringan dan perbincangan kumpulan sasaran.

“Sebanyak 640 syarikat telah menjalani audit teknologi oleh juruaudit berkelayakan yang terdiri daripada penyelidik dan jurutera SIRIM sejak ia dilaksanakan pada 2015. Audit teknologi ini menyediakan saluran kepada syarikat untuk menilai keupayaan pengurusan teknologi mereka serta memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing ke arah penambahbaikan.

“Berikutan audit teknologi itu, 170 projek peningkatan teknologi telah diluluskan dan lebih daripada 300 syarikat telah mengambil bahagian dalam projek intervensi teknologi lain seperti audit tenaga, pembungkusan dan pelabelan, bengkel inovasi serta penerimagunaan amalan terbaik,” katanya.

Selain intervensi teknologi dalam syarikat-syarikat individu, SIRIM telah memulakan program untuk menangani masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh sektor industri tertentu melalui program “menyelesaikan masalah seluruh industri'.

Katanya, SIRIM juga membangunkan program baru untuk PKS termasuklah tunjuk ajar dalam penggunan alat inovatif bagi pengurusan teknologi, perdagangan dan pemadanan perniagaan; selain pembangunan rangka kerja kesediaan penilaian syarikat dalam menggunapakai elemen Industri 4.0 bagi menyokong inisiatif Kerajaan ke arah Industri 4.0.

Pada majlis yang sama, SIRIM turut memberi penghargaan kepada 62 usahawan PKS yang terlibat dalam Program SIRIM-Fraunhofer. Mereka terdiri daripada usahawan pelbagai industri seperti bahan pembungkusan; pemesinan dan kejuruteraan; makanan dan minuman; serta pelabelan dan pembungkusan.

Program SIRIM-Fraunhofer dilaksanakan sejak tahun 2015 dengan memberi penekanan kepada pengenalpastian masalah PKS melalui Audit Teknologi dan seterusnya menyelesaikan masalah yang dikenal pasti melalui perkhidmatan teknologi dan inovasi.

SIRIM bekerjasama dengan Fraunhofer Institute, Jerman bagi tujuan perkongsian strategik serta penggunaan ekosistem inovasi Jerman kepada industri PKS di Malaysia. Kerjasama ini juga menyasarkan penggembelengan penyelidikan dan pembangunan teknologi tercanggih dari Fraunhofer dan SIRIM kepada PKS tempatan ke arah industri berteknologi tinggi.