Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Isham Ishak (tengah) bersama-sama pemenang Malaysia Good Design Award 2017, majlis berkenaan diadakan di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur pada Selasa. 

SIARAN MEDIA

 

37 PRODUK TERIMA MALAYSIA GOOD DESIGN AWARD 2017/2018

KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER 2018 – Sebanyak 37 produk daripada 26 buah syarikat hari ini dianugerahkan Malaysia Good Design Award 2017/2018 di atas kejayaan mereka dalam menepati standard penilaian rekabentuk yang berinovatif yang setanding dengan rekaan antarabangsa.

Pemenang terdiri daripada syarikat tempatan dan juga antarabangsa yang mengeluarkan produk yang direka oleh anak tempatan. (*senarai pemenang seperti di lampiran)
Produk terdiri daripada 13 kategori iaitu:
  1. Produk Senibina dan Alam Sekitar
  2. Produk Perdagangan dan Pameran Dagangan
  3. Produk Kraf
  4. Produk Rumah, Dapur dan Bilik Air
  5. Produk Perindustrian
  6. Produk Barangan Kemas, Fesyen dan Aksesori
  7. Produk Senggang, Hobi dan Sukan
  8. Produk Ruang tamu dan Bilik tidur
  9. Produk Media dan Elektronik Rumah
  10. Produk Perubatan dan Rehabilitasi
  11. Produk Pejabat dan Pentadbiran
  12. Produk Pembungkusan
  13. Produk Kawasan Awam dan Pengangkutan
Malaysia Good Design Award dianjurkan oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), sebuah agensi di bawah SIRIM.

Kesemua pemenang anugerah menerima hadiah yang berupa trofi dan sijil daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Isham Ishak yang mewakili menteri berkenaan pada satu majlis di sini. Hadir sama; bekas Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia, Prof. Emeritius Dato’ Dr Ahmad Haji Zainuddin serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Kesemua pemenang dinilai oleh juri yang terdiri daripada pereka profesional tempatan. Pemenang dinilai berdasarkan kriteria berikut:
  • Tahap inovasi
  • Kefungsian
  • Ciri-ciri simbolik yang menimbulkan emosi
  • Penghuraian kualiti tersendiri
  • Kualiti pembuatan
  • Ergonomik
  • Ketahanan, dan
  • Ciri-ciri ekologi
Malaysia Good Design Award merupakan pengiktirafan rekabentuk oleh kerajaan Malaysia melalui Majlis Rekabentuk Malaysia yang telah diperkenalkan sejak 1997 lagi. Pengiktirafan ini adalah bagi memperakui usaha sektor perindustrian dalam melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan berterusan dalam mempertingkatkan produk baru.