Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kiri) menunjukkan label sekuriti SIRIM di topi keledar, bersama beliau Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh semasa  lawatan oleh Ketua Pengarah JPJ ke kemudahan ujian helmet di kompleks SIRIM, Shah Alam pada Rabu. 

LABEL SEKURITI SIRIM BARU UNTUK TOPI KELEDAR YANG
BERCIRIKAN KOD QR

 

SHAH ALAM, 12 DISEMBER 2018: SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad, memperkenalkan label sekuriti SIRIM yang baru untuk topi keledar yang dilengkapi dengan kemudahan mesra pengesanan iaitu teknologi kod QR yang dijangka dilaksanakan bermula Januari 2019.

 

SIRIM QAS International memperkenalkan label sekuriti SIRIM baru untuk topi keledar yang bercirikan kod QR bagi memudahkan pengguna memperoleh maklumat mengenai status pengesahan topi keledar yang dibeli dengan pantas dan tepat.

 

Melalui label sekuriti baru ini juga, pengguna akan dapat memastikan topi keledar yang dibeli adalah tulen dan memenuhi ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan.

 

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SIRIM QAS International melalui aplikasi App Store bagi pelantar iOS atau aplikasi Play Store bagi pelantar Android ke dalam telefon pintar bagi menyemak dan mendapatkan status pensijilan topi keledar, jenis topi keledar dan nama pemegang pensijilan. Sebagai pilihan, pengguna masih boleh menyemak status pensijilan topi keledar dengan memasukan nombor siri label SIRIM ke dalam ruang yang disediakan atau berhubung terus dengan SIRIM QAS International di talian 03-5544 6400.

 

Selain daripada kod QR, label baru SIRIM bagi  topi keledar ini masih mengekalkan ciri-ciri keselamatan yang lain seperti memiliki nombor siri yang unik, penggunaan teknologi UV (invisible ink), teks mikro, mempunyai Paten Guillouche iaitu corak yang digunakan pada duit kertas dan dicetak menggunakan kertas berkualiti tinggi.

 

Label SIRIM yang baru untuk topi keledar ini diumumkan bersempena lawatan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Dato’ Sri Shaharuddin Khalid ke Makmal Pengujian Topi Keledar SIRIM QAS International, di sini, hari ini.

 

Pensijilan SIRIM untuk topi keledar motosikal adalah diwajibkan sejak awal tahun 1973 selaras dengan penguatkuasaan Kaedah-kaedah motosikal (Topi Keledar), 1973 [P.U. (A) 43/1973] mengikut standard MS 1.

Selain daripada memberikan perkhidmatan pensijilan dan pengujian berdasarkan MS 1, SIRIM QAS International juga turut dilantik oleh Kementerian Pengangkutan sebagai badan notifikasi yang memberi perkhidmatan teknikal bagi Kategori A, B, C dan D untuk standard UN ECE R 22.05 – Protective Helmets and Their Visors for Drivers and Passengers of Motor Cycles and Mopeds.

Makmal Pengujian Topi Keledar di SIRIM QAS International telah beroperasi sejak tahun 1970an. SIRIM QAS International mempunyai fasiliti pengujian yang lengkap untuk kedua-dua jenis standard bagi topi keledar iaitu MS 1 dan juga UN ECE Regulation 22.05.

Contoh Label Sekuriti SIRIM baru untuk Topi Keledar yang bercirikan Kod QR