Majlis Penyampaian sijil graduasi Program Pembangunan Keusahawanan ‘Entrepreneur ECER-SIRIM’ batch 3 (2015/2016) dan batch 4 (2016/2017) telah disempurnakan oleh YBrs. Hj. Hefnee Md Nor, wakil dari Pejabat Daerah Mersing. Turut serta ialah Cik Dini Syahirah Md Azwinar dari ECER dan En. Jamaluddin Tukimin dari SIRIM. Pada majlis ini sebanyak 22 syarikat telah menerima sijil graduasi masing-masing.

Sehingga tahun 2016, empat batch atau kelompok usahawan telah berjaya dikumpul dengan sejumlah 232 syarikat yang telah dan sedang melalui proses pembangunan. Dari jumlah tersebut 24 syarikat adalah dari usahawan daerah Mersing.

Usahawan Mersing yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan, majoritinya adalah dari sektor pembuatan makanan dan minuman, manakala satu adalah dari sektor kraf telah menyertai program untuk meningkatan pendapatan, merperkembang perniagaan dan memvangunkan produk.

Secara purata program ini telah mencatatkan lonjakan pendapatan usahawan sehingga 60% berbanding sebelum menyertai program. Terdapat peningkatan dari segi kawasan pasaran usahawan yang mana aktiviti penerokaan pasaran baru telah mula dijalankan oleh usahawan kepasaran dalam dan luar negara. Antara pasaran baru yang berjaya diteroka adalah seperti di Singapura dan di Naning, China.

Kesan positif lain adalah seperti peningkatan teknologi pembuatan produk daripada pembuatan secara tradisional kepada pembuatan produk secara semi automatik dan automatik sepenuhnya. Ini sejajar dengan peningkatan permintaan serta bagi menjamin pengeluaran produk yang konsisten dan berkualiti.