Penerima anugerah mengabadikan kenangan bersama YAB Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

 

SIRIM BANTU USAHAWAN MANFAATKAN INISIATIF PEMBANGUNAN DAERAH MERSING



Tujuh inisiatif pembangunan daerah Mersing yang dilancarkan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin pada Rabu, 18 April 2018 di Tanjung Penyabong, Mersing, Johor, dijangka akan memberi manfaat kepada SIRIM dalam penawaran khidmat program-program pembangunan keusahawanan serta program berkaitan peningkatan kualiti perkhidmatan dan produk.

Inisiatif-inisiatif pembangunan berteraskan pelancongan bernilai lebih RM100 juta itu dijangka akan berterusan sehingga ke tahun 2025. Antara sektor ekonomi yang dijangka mendapat manfaat adalah sektor perhotelan melalui program ‘kampungstay’ atau ‘Inapdesa’, sektor ekonomi berteraskan pertanian melalui program ternakan lembu tenusu dan pusat pendaratan ikan bersepadu Endau-Mersing. Projek-projek mega ini dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

Bersempena majlis ini, tiga usahawan bimbingan SIRIM melalui program peningkatan keusahawanan ECER - SIRIM mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri atas pencapaian dalam bidang keusahawanan. Pn. Gayah bt Ali, pengusaha produk pes dan rempah masakan menerima anugerah usahawan cemerlang, manakala Pn. Kamisah bt Dahari, pengusaha pau menerima anugerah usahawan mithali atas sumbangannya membantu masyarakat sekeliling, dan yang ketiga adalah Pn. Juwahir bt Rahmat, menerima anugerah usahawan bertransformasi atas pencapaian merubah pengeluaran manual kepada penggunaan mesin. Beliau merupakan pengusaha karipap sejuk beku yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan kini telah mempunyai bengkel sendiri.

Majlis yang diadakan sebelah pagi itu turut disertai oleh Ahli Parlimen Mersing, YB Datuk Dr. Hj. Abd Latiff Bin Ahmad, Pegawai Daerah Mersing YBhg. Tuan Hj. Ashari Bin Hj. Kasnan dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC iaitu YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John dan ratusan penduduk Mersing.