YAB MB Terengganu (tiga dari kiri) melihat model projek Perumahan Akuapolitan Kuala Nerus sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif ECERD, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John (tiga dari kanan) semasa majlis pelancaran di Seberang Takir Kuala Nerus.



Seramai sepuluh (10) ketua isi Rumah dikalangan penduduk dari daerah Kuala Nerus, Terengganu terpilih menyertai program peningkatan pendapatan melalui keusahawanan yang diterajui oleh SIRIM Berhad melalui Program Program Keusahawanan entrepreneur ECER-SIRIM, Pusat Rekabentuk Pembungkusan dan Keselamatan.

Program yang julung kalinya diadakan ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 400 penduduk nelayan kumpulan B40 di daerah Kuala Nerus yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangkakan akan mencapai matlamat menjelang tahun 2025.

Simbolik pelaksanaan program telah dirasmikan semasa Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Akuapolitan Kuala Nerus melalui majlis penyampaian sijil penyertaan dan bantuan peralatan bernilai RM2,000 untuk fasa satu kepada 10 Ketua Isi Rumah terpilih yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu pada Ahad, 6 Mei 2018 di Kampung Batin, Kuala Nerus, Terengganu. Turut hadir di majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, wakil-wakil kerajaan dan ratusan penduduk tempatan.

Projek Akuapolitan Kuala Nerus merupakan projek ‘’Sea-Felda” yang akan mentransformasikan taraf hidup warga nelayan di Kuala Nerus.  Tiga (3) teras strategik utama yang ditekankan dalam projek ini adalah Pembangunan Modal Insan, Peningkatan Aktiviti Komersial dan Pembangunan Infrastruktur.

Melalui Pembangunan Modal Insan, SIRIM Berhad berperanan membimbing penduduk dalam bidang keusahawanan dan persediaan untuk melakukan satu transformasi ekonomi secara tersusun dan seimbang. Terdahulu, satu taklimat pengenalan kepada peserta terpilih telah diadakan pada 30 April 2018, dengan memberi pendedahan dan penerangan mengenai pelaksanaan program yang SIRIM akan berikan.  Program ini mensasarkan peningkatan pendapatan melalui keusahawanan, peningkatan kemahiran individu dan peruncitan. Dengan sokongan dan kerjasama dari ECERDC, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kerajaan negeri Terengganu, kami percaya hasrat tersebut akan dapat direalisasikan dengan cemerlang.