SIARAN MEDIA

​​​

SIRIM HASILKAN PERALATAN PPE UNTUK KLINIK KESIHATAN DI SELANGOR; UBAH SUAI PERKHIDMATAN SEPANJANG TEMPOH PKP 1.Cecair pencuci tangan (hand-sanitiser) dan pelindung muka cetakan 3D (3D-printed face shield) teknologi SIRIM Industrial Research 2.Perkhidmatan SIRIM sepanjang tempoh PKP diubah suai

 
SHAH ALAM, 6 APRIL 2020:  SIRIM hari ini tampil ke hadapan dengan menyumbang peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi membantu petugas perubatan di klinik-klinik kesihatan di sekitar Selangor yang mengendalikan kes virus COVID-19.

Sumbangan yang terdiri daripada alat pelindung muka dan cecair pencuci tangan antara usaha agensi penyelidikan perindustrian di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini untuk digunakan petugas perubatan dalam situasi getir ini.

Penyelidik SIRIM komited untuk mencari penyelesaian bagi membantu pasukan frontliners negara, selain menghargai usaha mereka dan membolehkan frontliners bertugas dengan selamat.

Sumbangan Kumpulan SIRIM telah disampaikan kepada Ketua Penolong Pengarah, Unit Perolehan & Aset, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Sazatul Faeza Alias, di pejabat berkenaan di sini, hari ini.

Pembuatan alat pelindung muka menggunakan cetakan 3D dihasilkan oleh Pusat Inovasi Perindustrian dalam Pembuatan Pintar, SIRIM (Industrial Centre for Innovation in Smart Manufacturing) yang menggunakan teknologi percetakan 3D, Teknologi Filament Deposition Modeling (FDM) dan Teknologi Selective Laser Sintering (SLS).

Selain klinik-klinik kesihatan di Shah Alam dan Klang, SIRIM turut menyumbang alat pelindung muka di Klinik Kesihatan Sg Selisek, Kuala Kubu Baru dan Klinik Kesihatan Balakong, Selangor; Balai Polis Bandar Baru Bangi, Selangor; Pejabat Kesihatan Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang; Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan; dan Hospital Pasir Mas, Kelantan.

Sementara itu, pembuatan cecair pencuci tangan yang mengandungi 70 peratus alkohol dihasilkan di kilang kosmetik bertaraf Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian, SIRIM (Industrial Biotechnology Research Centre) yang mematuhi keperluan pengawalseliaan ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, pusat ini telah menghasilkan lebih 4,000 botol cecair pencuci tangan dan telah diedarkan kepada pembekal untuk kegunaan hospital.

Dalam perkembangan yang sama, SIRIM melalui Pusat Inovasi Perindustrian dalam Pembuatan Pintar juga membantu menghasilkan Y Splitter for ventilators iaitu komponen untuk kegunaan mesin ventilator yang menggunakan teknologi percetakan 3D.​

PERKHIDMATAN SIRIM SEPANJANG TEMPOH PKP

Sementara itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, SIRIM turut mengubahsuai penyampaian beberapa perkhidmatan yang ditawarkan Kumpulan ini.

Anak syarikat yang menyediakan khidmat latihan dan perundingan, SIRIM STS Sdn Bhd menawarkan sesi latihan secara langsung (live training session) iaitu kelas secara maya bermula hari ini, 6 April 2020. Antara sesi latihan yang disediakan adalah Pengenalan kepada ISO 45001:2018 Sistem Kesihatan Pekerjaan & Pengurusan Keselamatan; Pengenalan kepada ISO 22000:2018 Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan dan Pengenalan kepada ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah.

Peserta sesi latihan langsung secara maya perlu mempunyai komputer lengkap dengan kamera dan mikrofon, fon kepala/telinga dan internet berkelajuan tinggi; dan boleh mendaftar di www.sirimsts.my  . Peserta akan menerima e-sijil setelah selesai tempoh kursus.

Satu lagi anak syarikat, SIRIM QAS International Sdn Bhd, meneruskan perkhidmatan penting seperti Pemeriksaan dan Persampelan di semua pintu masuk Pelabuhan untuk produk yang dikenalpasti di bawah Custom Prohibition Order (pengimportan besi & keluli). Pelanggan SIRIM QAS International di bawah kategori perkhidmatan penting, turut ditawarkan dengan 'remote audit' atau audit jarak jauh sepanjang tempoh ini bagi Pensijilan Sistem Pengurusan.

Manakala Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) meneruskan khidmat Penentusahan instrumen kawalan pengukuran yang digunakan untuk perkhidmatan pengangkutan, serta pemantauan Waktu Standard Malaysia.

Dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini, SIRIM berusaha memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada orang ramai, pelanggan dan pemegang kepentingan SIRIM; dan dalam pada itu, turut mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelanggan, anggota kerja dan keluarga mereka.​


Sumbangan Kumpulan SIRIM disampaikan kepada Ketua Penolong Pengarah, Unit Perolehan & Aset, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Sazatul Faeza Alias, di pejabat berkenaan di sini, hari ini.


Pembuatan alat pelindung muka menggunakan cetakan 3D dihasilkan oleh Pusat Inovasi Perindustrian dalam Pembuatan Pintar, SIRIM (Industrial Centre for Innovation in Smart Manufacturing) yang menggunakan teknologi percetakan 3D, Teknologi Filament Deposition Modeling (FDM) dan Teknologi Selective Laser Sintering (SLS).




Penyelidik SIRIM komited untuk mencari penyelesaian bagi membantu pasukan frontliners negara, selain menghargai usaha mereka dan membolehkan frontliners bertugas dengan selamat.


           


​​