​​SIARAN MEDIA

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA MW ADVANTECH SDN BHD DAN SIRIM BERHAD BAGI MEMPERKASA INFRASTUKTUR EV DI MALAYSIA

                 

SHAH ALAM, 18 OKTOBER  2022: MW Advantech Sdn Bhd (MW Advantech) dengan rekod perniagaan selama 50 tahun dalam industri automotif hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SIRIM Berhad dalam usaha untuk memperkasa ekosistem EV Malaysia. MW Advantech yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif Mobility Werk Group Sdn Bhd , Yang Berusaha, Tuan Zulkifli Kasim, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad , Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad.

 

 

Objektif utama MoU ini adalah sebahagian daripada inisiatif syarikat bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab EV serantau. Dengan bantuan SIRIM Berhad untuk menjadikan produk ‘MCharge’ sebagai antara electric vehicle charger (EVC) yang pertama untuk diiktiraf sebagai produk yang selamat dan berkualiti untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia.

 

"Selaras dengan fokus utama Kerajaan bagi tahun 2022 iaitu pembangunan teknologi kenderaan EV, pihak MWA sebagai sebuah syarikat tempatan ambil maklum bahawa Malaysia mempunyai kekurangan infrastruktur stesen pengecas EV. Oleh itu, kita tidak boleh meneruskan budaya business as usual tetapi kita semua harus berganding bahu dalam memastikan infrastuktur EV di Malaysia mencapai tahap yang optimum", kata Tuan Zulkifli Kasim dalam ucapannya.

 

Menurut Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin, SIRIM Berhad akan membantu MW Advantech Sdn. Bhd. membangunkan dan menyediakan perkhidmatan pengecas kenderaan elektrik yang bergred industri dengan sistem dan infrastruktur yang menepati standard perindustrian bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa serta industri.

 

"Saya percaya program yang akan dilaksanakan dengan MW Advantech Sdn. Bhd. ini akan dapat menggalakkan serta meningkatkan aktiviti ekonomi yang mampan kepada kedua-dua pihak, sekali gus meningkatkan imej yang bersifat holistik sama ada di Malaysia mahupun di persada antarabangsa," katanya.

 

Sementara itu, MW Advantech juga berhasrat untuk bekerjasama secara strategik dengan SIRIM Berhad untuk meningkatkan infrastruktur EV di Malaysia di samping menghadapi cabaran Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0). Pada bulan Ogos tahun ini, syarikat MW Advantech telah menubuhkan assembly line EVC pertama di Malaysia dengan misi untuk mengeluarkan stesen pengecas EV bagi menampung peningkatan kenderaan EV di Malaysia. Syarikat tersebut juga berhasrat untuk membantu membentuk ekosistem yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Pada masa akan datang, syarikat MW Advantech dan SIRIM Berhad diharapkan dapat bekerjasama bagi memastikan kerjasama teknologi dan teknikal dapat dilaksanakan.

             

##