SIARAN MEDIA

​​


SIRIM PINDAH TEKNOLOGI EKSTRAK BIOMAS NANAS KEPADA SYARIKAT TEMPATAN

                             PENJAGAAN WAJAH DARI EKSTRAK NANAS TURUT DILANCAR
 
 

SHAH ALAM, 12 Feb 2020 : SIRIM berjaya mengkomersialkan ekstrak tumbuhan semula jadi dari nanas kepada sebuah syarikat tempatan yang diaplikasikan ke dalam produk penjagaan kulit muka

Produk penjagaan kulit yang terdiri dari serum wajah, masker malam (night mask) dan pencuci muka dengan jenama Ensutouch, dihasilkan daripada ekstrak sisa nanas adalah hasil kerjasama pintar SIRIM, sebuah agensi penyelidikan perindustrian di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Ensu Lifesciences Sdn Bhd.

Pemindahan teknologi ekstrak tersebut telah disempurnakan dalam satu majlis penyerahan dokumen pemindahan teknologi di sini, hari ini. Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad mewakili SIRIM dan Ensu Lifesciences Sdn Bhd diwakili pengasasnya, Dr Suhana @ Husin Misnan. Hadir sama Pengerusi SIRIM Tech Venture Sdn Bhd, Datuk (Dr) Hafsah Hashim.

Inovasi teknologi hijau ini melibatkan pemprosesan biomas dari komponen nanas tanpa menggunakan bahan kimia yang berbahaya. Teknologi tersebut dikomersialkan melalui SIRIM Tech Venture, anak syarikat milik penuh SIRIM.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, bahan sisa nanas berpotensi diguna semula untuk pelbagai kegunaan seperti kosmetik, biogas dan pengeluaran bio-etanol bagi kegunaan pelbagai sektor seperti perindustrian, ekonomi, sosial, pembuatan, serta farmaseutikal selain menggalakkan sistem pertanian yang cekap untuk meningkatkan keuntungan dan daya saing.

“SIRIM melalui pasukan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian, mempunyai kepakaran dan fasiliti lengkap seperti makmal pengekstrakan dan lojipandu bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) untuk menjalankan kajian lanjutan terhadap ekstrak ini agar spektrum aplikasinya boleh diperkembangkan kepada produk-produk penjagaan kesihatan.

“Penyelidik kami juga memastikan produk kosmetik ini selamat, tidak toksik atau memberi kesan iritasi, yang kesemuanya kami uji di makmal bertaraf ISO 17025 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Teknologi ekstrak sisa nanas ini pernah memenangi beberapa anugerah utama antaranya pingat perak di Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX)  pada 2018 dan mendapat pengiktirafan di Selangor R&D and Innovation Expo 2019.

Sementara itu, SIRIM telah mengkomersialkan beberapa teknologinya kepada syarikat-syarikat tempatan, antaranya krim pencegah serangga, syampu dan sabun mandi pada 2014. Produk lain adalah lampu LED untuk menarik ikan bagi kegunaan penternak ikan kolam pada 2018 serta krim anti-kulat dari bahan semula jadi dan mesin pengisar kepersisan mikro (micro precision grinding machine) pada 2017.

SIRIM Tech Venture kini dalam proses untuk mengkomersialkan beberapa lagi teknologi dan inovasi terkini seperti gel anti-jerawat, sistem teknologi solar termal dan silinder komposit untuk penyimpanan gas petroleum cecair (LPG).

Pada majlis tersebut turut diadakan Forum Keselamatan Kosmetik dan Berkesan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan bahan berbahaya yang terdapat di dalam beberapa produk kosmetik dan penjagaan kulit.