SIARAN MEDIA
                     

 

           

SIRIM TAWAR KEPAKARAN TEKNOLOGI DI PAHANG

 

KUANTAN, 21 Julai 2020: Program Keterlibatan SIRIM-Industri yang diadakan di sini hari ini menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Pahang.

Lebih 100 wakil dari agensi kerajaan, persatuan industri dan usahawan tempatan dari pelbagai sektor termasuk industri makanan & minuman, kraf, pertanian, pembuatan, minyak & gas, perladangan, automotif dan pembinaan di Pahang telah hadir pada program itu.

Bertemakan “Kelestarian Perniagaan di dalam Pasaran yang Mencabar", program separuh hari itu menekankan kepada kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian dan pensijilan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, berkata sehingga Disember 2019, sebanyak 137 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Mikro di Pahang telah terlibat di dalam Program Pembangunan Keusahawanan ECER-SIRIM.

“Program ini dilaksanakan di 11 daerah di Pahang merangkumi, Perundingan Pengurusan Kualiti dan Pengeluaran; Perundingan Peningkatan Penjenamaan; Perundingan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan HALAL; Perundingan Pemasaran dan Kewangan.

“Melalui program ini pendapatan usahawan meningkat sebanyak 23 peratus dan penawaran pekerjaan turut meningkat sebanyak 18 peratus. Program ini juga berjaya melonjakkan pengeluaran, kualiti produk dan pembungkusan serta pelabelan. Produk yang dikeluarkan berjaya menembusi pasaran yang lebih besar seperti memasuki pasaraya besar," katanya.

Program Keterlibatan SIRIM-Industri telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, hari ini.

Ir. Dr Ahmad Fadzil berkata, sehingga Jun 2020, sebanyak 1,470 PKS telah mengambil bahagian di dalam program peningkatan teknologi industri iaitu Program SIRIM Fraunhofer, dan daripada jumlah itu, sebanyak 25 PKS (untuk penggunaan teknologi/technology uptake) adalah dari Pahang. Jumlah keseluruhan technology uptake dalam kalangan PKS di seluruh negara di bawah program SIRIM Fraunhofer adalah sebanyak 423 syarikat.

“SIRIM telah membantu mereka di dalam pelbagai bentuk bantuan teknologi termasuk peningkatan mekanisasi dan automasi di dalam pengilangan dan proses pengeluaran," katanya. ​


 ​