​​​​

MEMASTIKAN KETULENAN LOGAM PERAK 

 
 
Nilai ketumpatan perak adalah 10.5 g/ml yang dipaparkan oleh densimeter

                   

Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) merupakan sebuah badan yang menjaga standard pengukuran di Malaysia. Ianya termaktub dalam Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675). Oleh yang demikian, NMIM telah bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Alam Sekitar, POLIS dan agensi lain bagi memastikan semua alat pengukuran di Malaysia tepat dan seragam.​

Akta 675 menyatakan NMIM berfungsi menjalankan penyelidikan dan membangunkan standard pengukuran kebangsaan. Justeru itu, NMIM telah berjaya membangunkan standard emas dan perak bagi tujuan ketepatan dan penyeragaman semua alat pengukuran ketulenan emas dan perak di Malaysia. Bagi merialisasikan tujuan tersebut, NMIM telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). SKM telah dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia koperasi yang menjalankan aktiviti pajak gadai Islam di negara kita seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Koperasi Pos Nasional Berhad (KOPONAS).

 Alat yang sering digunakan untuk mengukur ketulenan emas adalah X-Ray Fluorescence (XRF), Precious Metal Verifier (PMV) dan densimeter. Kaedah XRF mengukur ketulenan emas adalah melalui pancaran sinar-x terhadap barang gadaian. Alat ini mampu memberi bacaan ketulenan emas yang tepat terhadap barangan kemas yang pelbagai bentuk seperti cincin, gelang dan rantai. Ia juga sangat mudah dan cepat serta tidak merosakkan barang gadaian yang diuji. PMV pula hanya mampu mengukur ketulenan emas untuk jongkong dan syiling sahaja. Densimeter menggunakan kaedah ketumpatan dan harganya murah serta mampu untuk mengukur ketulenan emas bagi barangan pelbagai bentuk. Ianya akan memaparkan nilai ketulenan emas dalam unit karat seperti 24 karat, 22 karat dan 18 karat.

Bagi pengukuran ketulenan perak pula, alat yang boleh digunakan adalah X-Ray Fluorescence (XRF) dan Precious Metal Verifier (PMV). Kebanyakan pajak gadai Islam tidak mempunyai XRF dan PMV kerana harga yang mahal dan keterbatasan alat untuk mengukur ketulenan bagi barangan pelbagai bentuk. Pada masa kini hampir keseluruhan pajak gadai Islam mempunyai densimeter. Walaubagaimanapun, densimeter tidak memaparkan ketulenan perak dan ini menyebabkan alat ini tidak digunakan untuk mengukur ketulenan perak.

Hakikatnya, densimeter berkeupayaan mengukur ketulenan perak sekiranya kita tahu nilai ketumpatan perak pada ketulenan 99.9%. Ini kerana, densimeter boleh memaparkan nilai ketumpatan segala jenis logam termasuk perak. Nilai ketumpatan perak pada ketulenan 99.9% adalah 10.5 g/ml. Apabila pajak gadai menerima barangan perak dengan nilai ketumpatan 10.5 g/ml bermakna barangan gadaian tersebut adalah perak dengan ketulenan 99.9%.

Penerimaan perak sebagai barang gadaian oleh pajak gadai Islam adalah sangat sedikit. Kebanyakan pajak gadai Islam lebih cenderung menerima emas berbanding perak disebabkan oleh harga perak yang tidak stabil serta murah berbanding emas dan mereka tiada alat untuk menguji ketulenan perak. 


TS. Fazrul Mohd Nor

Metrologis Kanan,  Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) SIRIM ​