​SIARAN MEDIA
                           

NMIM-SIRIM BAKAL LATIH LEBIH 100 ORANG PEGAWAI PENENTUSAHAN

Latihan melibatkan kerja penentusahan untuk timbang, sukat dan alat timbang dan sukat bagi kegunaan perdagangan

                 

PUTRAJAYA, 19 Jan 2022: Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia, SIRIM (NMIM) akan melatih seramai 106 orang pegawai penentusahan syarikat DE Metrology Sdn Bhd (DMSB) yang akan menjalankan kerja-kerja penentusahan timbang, sukat dan alat timbang dan sukat bagi kegunaan perdagangan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Perjanjian Perkhidmatan berkenaan akan membolehkan NMIM melaksanakan Kursus Kompetensi dan Konsultansi untuk pegawai DMSB bagi memenuhi syarat lantikan syarikat itu sebagai syarikat dilesenkan oleh KPDNHEP.

Skop kursus kompetensi dan konsultansi merangkumi bendalir, masa, sukat linar dan jisim (timbang) akan dijalankan dalam masa dua tahun dan merangkumi kursus dan penilaian teori secara dalam talian, kursus praktikal secara video pra-rakaman dan penilaian secara fizikal di cawangan DMSB mengikut wilayah atau di kemudahan pihak ketiga serta konsultansi dan audit.

 

Pada majlis pertukaran Memorandum Perjanjian, NMIM, SIRIM diwakili oleh Pengarah Kanan NMIM, Dr Osman Zakaria dan DMSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zuwairi Japri Al-Manjie. Majlis pertukaran memorandum perjanjian turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengerusi DE Metrology Sdn Bhd, Dato’ Seri Jamil Salleh dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata, Memorandum Perjanjian ini akan memantapkan pengetahuan dan pembangunan kompetensi pegawai penentusahan, kerana penentusahan alat pengukuran bagi kegunaan perdagangan akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dalam bidang metrologi perundangan.

"Memorandum Perjanjian ini akan menandakan permulaan kerjasama yang kukuh antara NMIM dan DE Metrology Sdn. Bhd. Saya yakin bahawa kedua-dua organisasi akan meraih manfaat maksimum dalam rangka persahabatan melalui perkongsian menang-menang ini.

 

Pengerusi DE Metrology Sdn Bhd, Dato’ Seri Jamil Salleh berkata, pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di antara NMIM, SIRIM dan DMSB adalah untuk kepentingan strategik dan hala tuju di antara kedua-dua pihak dan diharapkan dapat berpanjangan di masa hadapan. Tambah beliau, melalui pertukaran MoA ini dapat membantu untuk meningkatkan kemahiran sedia ada bagi menyediakan perkhidmatan penentusahan alat timbang dan sukat yang tepat.

"Melalui Memorandum Perjanjian ini, kita dapat merancang strategik dan hala tuju bagi perancangan akan datang yang berpanjangan. Saya yakin dengan penglibatan dan komitmen yang diberikan oleh DMSB dapat meningkatkan lagi kemahiran dan memantapkan perkhidmatan yang diberikan.

 

NMIM, unit strategik SIRIM yang menjalankan fungsi-fungsi statutori bagi pihak Kerajaan adalah Makmal Standard Pengukuran yang antara mandatnya adalah untuk merealisasi dan menyenggara Standard Pengukuran Kebangsaan dan Bahan Rujukan Diperakui, di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007.

 

NMIM juga adalah Penyimpan Timbang dan Sukat sekaligus berperanan menasihati Menteri mengenai perkara yang berkaitan dengan pengukuran mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, selain berperanan menyebar dan menggalakkan unit-unit pengukuran dan teknologi pengukuran yang mempunyai kebolehkesanan terhadap Standard Pengukuran Kebangsaan. NMIM juga memberi latihan, khidmat nasihat dan perundingan mengenai pengukuran, teknologi pengukuran serta perkara-perkara yang berkaitan.

 

Dalam mengendalikan latihan dan khidmat nasihat dalam bidang metrologi. NMIM mempunyai lebih daripada 80 kursus metrologi atau sains pengukuran, yang ditawarkan secara fizikal mahupun dalam talian.

 

Kursus metrologi dikendalikan oleh metrologis NMIM yang telah mendapat latihan teknikal dalam bidang masing-masing contohnya pengukuran parameter jisim (kilogram), panjang (meter), masa (saat), arus (Ampere), suhu termodinamik (Kelvin), keamatan cahaya (Candela) dan mol.

Memandangkan NMIM adalah organisasi tertinggi di dalam hierarki Infrastruktur Pengukuran Kebangsaan, metrologis NMIM ini mendapat latihan di Institut Metrologi Kebangsaan luar negara seperti Jerman, UK, Australia, Jepun, Korea dan Thailand.

 

MENGENAI SIRIM

SIRIM Berhad, anak syarikat Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberi tumpuan kepada Penyelidikan Perindustrian, Pembangunan Teknologi dan Pengkomersilan; Pensijilan, Pengujian dan Pemeriksaan; Pengukuran dan Penentukuran; Latihan; Penyelidikan dan Pembangunan Standard; Keusahawanan berasaskan Teknologi; dan Perundingan Reka bentuk. www.sirim.my

 

MENGENAI INSTITUT METROLOGI KEBANGSAAN MALAYSIA (NMIM)

NMIM adalah sebuah Unit Bisnes Strategik SIRIM Berhad, berstatus badan berkanun. NMIM adalah institusi metrologi kebangsaan untuk Malaysia dan diberi mandat sebagai Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan untuk mewujudkan, memelihara Standard Pengukuran Kebangsaan dan Bahan Rujukan Diperakui di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675) dan Penyimpan Timbang dan Sukat di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71) dan menasihati Menteri mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pengukuran.

 

NMIM memainkan peranan penting dalam menyebarkan kebolehkesanan pengukuran ke seluruh negara berdasarkan Sistem Unit Antarabangsa dan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan infrastruktur metrologi kebangsaan memenuhi dan mematuhi standard pengukuran global. Tugas NMIM menekankan kepentingan penyelarasan sistem pengukuran infrastruktur kebangsaan di peringkat domestik dan antarabangsa. www.nmim.gov.my

 

Mengenai DMSB

De Metrology Sdn Bhd (DMSB) adalah sebuah syarikat yang diperbadankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan fokus utama dalam perkara-perkara yang berkaitan Metrologi sah di bawah seksyen 26A(1)(B) Akta Timbang dan Sukat 1972 untuk memberi perkhidmatan pengujian dan penentusahan alat timbang atau sukat untuk kegunaan perdagangan

De Metrology Sdn Bhd (DMSB) memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan penentusahan alat timbang dan sukat kepada pengguna dan pembaik alat timbang dan sukat dan bertanggungjawab memastikan setiap alat timbang dan sukat memenuhi kriteria dan standard penentusahan yang betul dan tepat.

 

##