​SIARAN MEDIA
                           

20 USAHAWAN ASNAF SERTAI PROGRAM PEMERKASAAN TINGKAT EKONOMI DAN TARAF HIDUP

                 

SHAH ALAM, 16 Disember 2021:  Seramai 20 usahawan asnaf telah berjaya menamatkan Program Pemerkasaan Usahawan dan Transformasi Pembangunan Inovatif untuk Usahawan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mempertingkatkan ekonomi serta taraf hidup mereka.

 

Program ini merupakan program kerjasama di antara LZS dengan SIRIM Berhad bertujuan membangun dan mempertingkatkan tahap pembungkusan serta pelabelan usahawan asnaf mengikut trend dan pasaran terkini bagi membolehkan perniagaan mereka berkembang maju dan berjaya menembusi pasaran baru.

 

Usahawan yang terpilih adalah daripada pengusaha produk makanan seperti pes ayam madu, apam puteri ayu dan karipap sejuk beku, rempeyek berempah, kuih peneram, bahulu gulung, tat coklat, pes serbaguna, kacang berempah, tepung serbaguna, pekasam, tart nanas, biskut coklat, biskut emping jagung, sambal tumis bilis, sambal bilis garing, kerepek pisang dan kuih lidah buaya.

 

Usahawan berkenaan diraikan pada Majlis Penyerahan dan Graduasi Program Pemerkasaan Usahawan dan Transformasi Pembangunan Inovatif untuk Usahawan Asnaf Lembaga Zakat Selangor yang dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop di ibu pejabat SIRIM, di sini, hari ini.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, SIRIM Berhad membantu LZS membangunkan dan memperkasakan usahawan asnaf Selangor melalui transformasi pembungkusan inovatif, seterusnya membolehkan produk usahawan asnaf mempunyai keterampilan baru yang lebih menarik untuk dipasarkan.

 

"Produk yang berdaya saing akan memudahkan penembusan ke pasaran baru dan kemudian ia dapat membantu mempertingkatkan ekonomi serta taraf hidup usahawan asnaf sehingga berjaya keluar daripada golongan penerima zakat kepada golongan pemberi zakat.

 

"Kesemua 20 orang usahawan asnaf bagi tahun 2020 dan 2021 telah dipilih untuk menyertai program ini, di mana peserta-peserta ini dibiayai sepenuhnya oleh LZS," katanya.

 

Program ini bermula dengan proses pemilihan usahawan; perundingan dan pemilihan produk; khidmat nasihat penjenamaan dan kualiti produk; pembangunan reka bentuk pembungkusan; perkhidmatan pembangunan jenama sehingga proses audit impak keberkesanan program yang dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas program tamat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop berkata, berdasarkan audit pemantauan jualan dan premis yang dijalankan ke atas usahawan asnaf bagi tahun 2020, terdapat peningkatan jualan secara purata sebanyak 50% selepas menggunakan pembungkusan baru.

 

"Zakat Selangor sentiasa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan ekonomi kepada usahawan asnaf. Telah menjadi keutamaan kami untuk memastikan inisiatif pembangunan ekonomi ini mampu memperkasakan keupayaan serta memacu kecemerlangan usahawan asnaf sehingga mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat," katanya.

##