​SIARAN AKHBAR

JKR, SIRIM PERKENAL STANDARD PENARAFAN HIJAU BAGI BANGUNAN KEDIAMAN & BUKAN KEDIAMAN

SHAH ALAM, 8 Feb 2021: Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan SIRIM hari ini melancarkan standard terbaru JKR/SIRIM 2:2020 iaitu Penarafan Hijau (pHJKR) bagi fasiliti bangunan kediaman dan bukan kediaman sebagai usaha menggalakkan pembangunan lestari.

SIRIM STS Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad, telah bekerjasama dengan JKR bagi membangunkan standard ini yang menetapkan kriteria penilaian dan kaedah untuk menilai kelestarian fasiliti bangunan.

Standard ini memberi penekanan kepada tujuh bidang utama iaitu perancangan dan pengurusan tapak lestari; pengurusan kecekapan tenaga; pengurusan sumber dan bahan; pengurusan kecekapan penggunaan air; pengurusan kualiti persekitaran dalaman; pengurusan fasiliti lestari; dan inovasi dalam reka bentuk.

Pelancaran standard terbaru itu telah diadakan secara maya sempena Webinar Penarafan Hijau Bagi Fasiliti Bangunan Kediaman & Bukan Kediaman yang dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani; Pengarah Cawangan Alam Sekitar & Kecekapan Tenaga, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Farah Abdul Samad; dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS, Raja Yahya Raja Ariffin.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia, Dato' Ir. Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman di dalam rakaman ucapan pada pelancaran standard itu berkata, dalam memacu agenda pembangunan lestari nasional, JKR telah melancarkan Pelan Strategik JKR 2021-2025 pada 29 September 2020.

"Berdasarkan Tema Empat Pelan Strategik JKR ~ Memacu Kelestarian Infrastruktur, JKR secara langsung mendukung tujuh daripada 17 Sustainable Development Goals, SDG 2030 yang telah dipersetujui oleh semua negara anggota PBB, termasuk Malaysia".

JKR juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif ke arah pembangunan lestari semenjak tahun 2000 lagi. Antaranya adalah JKR Green Mission dan persijilan MS ISO 14001 (Environmental Management System, EMS) pada tahun 2002 serta penubuhan Jawatankuasa Pemacu Pembangunan Kelestarian dan pensijilan MS ISO 50001 (Energy Management System, EnMS) bagi bangunan Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Mulai 2018 JKR dengan kerjasama SIRIM STS telah memulakan inisiatif menaiktaraf manual pHJKR kepada JKR/SIRIM 2:2020 yang telah dilancarkan pada 3 Mac 2020.

"Setakat ini, penggunaan pHJKR telah mendapat hasil positif di mana terdapat 75 projek bangunan dan 38 projek jalan telah didaftarkan untuk penilaian. Berdasarkan penilaian penuh yang telah diadakan, 11 bangunan berjaya menjimatkan kos menguruskan wang kerajaan antara 24 hingga 42 peratus setiap tahun yang melibatkan penjimatan kos sebanyak RM 7.372 juta atau bersamaan dengan 14.018 juta kg atau 14,000 ton CO2 equivalent yang dapat dielakkan pelepasannya (carbon avoidance)," katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, berkata standard yang diperkenalkan ini bukan yang pertama dibangunkan dengan kerjasama JKR dan SIRIM STS, malah usahasama pintar ini telah terjalin sejak 2017.

"Terdapat dua lagi standard yang telah berjaya dibangunkan antara JKR dan SIRIM STS iaitu JKR/SIRIM 1:2017, Manual for Green Product Scoring System; dan JKR/SIRIM 3:2020, Environmental protection and enhancement works for projects.

"Kesemua standard ini dibangunkan atas inisiatif JKR dengan kesedaran bahawa pentingnya untuk menyediakan keperluan, spesifikasi, garis panduan atau ciri yang boleh digunakan untuk memastikan bahan, produk, proses dan perkhidmatan yang dibekalkan adalah memenuhi keperluan dan kehendak, serta mencapai amalan terbaik di dalam bidang pembinaan dan pembangunan lestari," katanya.

Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil berkata, JKR dan SIRIM STS kini dalam proses membangunkan Standard JKR bagi Indoor Environmental Quality (IEQ) for Government Office Building yang menggariskan keperluan merangkumi faktor-faktor umum yang mempengaruhi kualiti persekitaran dalaman dan elemen IEQ seperti kualiti udara dalaman, keselesaan akustik, keselesaan terma, keselesaan visual, pengemasan, serta keselamatan dan kesihatan.

Sementara itu, Webinar Penarafan Hijau Bagi Fasiliti Bangunan Kediaman & Bukan Kediaman selama sehari yang dianjurkan secara maya, adalah bagi memperkenalkan standard terbaru JKR berkenaan penarafan hijau dan kriteria penilaian untuk penarafan hijau. Webinar itu memberi maklumat berkenaan program penarafan hijau bagi bangunan komersial dan kediaman serta mempromosi pembangunan lestari bangunan hijau kepada peserta yang terdiri daripada wakil jabatan dan agensi kerajaan; juruperunding seperti arkitek dan jurutera; pemaju dan kontraktor pembinaan; pembekal atau pengilang produk; dan syarikat pengurusan aset.