​KENYATAAN MEDIA


                           


UM DAN SIRIM KERJASAMA MENGKOMERSIALKAN HASIL PENYELIDIKAN UM KE DALAM PASARAN


KUALA LUMPUR. 6 OKTOBER 2021 Hasil penyelidikan oleh penyelidik-penyelidik Universiti Malaya akan dikomersialkan oleh SIRIM Berhad ke dalam pasaran melalui transformasi idea kepada perniagaan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

 

Ini adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman Kerjasama (MoU) di antara Universiti Malaya dan SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM yang akan membuka jalan dalam pelaksanaan inisiatif di antara pihak industri dan institusi pengajian tinggi.

 

MoU ini ditandatangani oleh Naib Canselor Universiti Malaya, YBhg. Profesor Dato' Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBhg Dato' Dr. Ahmad Sabirin Arshad.

 

Menurut Profesor Dato' Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, perjanjian ini akan membawa hasil inovasi dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik Universiti Malaya ke peringkat seterusnya.

 

“Kerjasama ini menandakan bermulanya pencetusan idea yang akan diperkembangkan dan mempromosi hasil kerja penyelidik Universiti Malaya ke arah penghasilan teknologi yang menepati standard piawaian dan berkualiti tinggi dalam bidang perindustrian Malaysia.

 

“Ini akan memberi pulangan kepada sektor ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan serta kualiti hidup individu dan masyarakat.

 

“Perjanjian ini juga akan meneroka potensi untuk pengkomersilan teknologi termasuk promosi dan pemasaran teknologi dalam saluran pemasaran yang betul dan strategi pemasaran oleh kedua entiti," katanya.

 

Antara yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Noorsaadah Abd Rahman dan Penolong Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Shaliza Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif STV, Ajmain Kassim.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato' Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, melalui kerjasama ini STV akan memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan pengkomersialan teknologi STV kepada UM yang dapat membantu penyelidik universiti dalam pengkomersialan inovasi mereka.

 

“STV dan UM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang peningkatan keupayaan modal insan melalui latihan, bengkel, seminar pendidikan dan ceramah. Selain itu, STV turut menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah pengkomersialan perniagaan terutama Penilaian Teknologi (Penganalisis Penilaian Paten Bertauliah), Kajian Kebolehlaksanaan Pasaran dan lain-lain yang berkaitan dengan pengkomersialan teknologi sebagai nilai tambah kepada usahasama ini," katanya.

 

Menurutnya, STV kini giat menjalinkan kerjasama daripada pelbagai universiti, industri, agensi dan institusi penyelidikan di dalam bidang pengkomersialan teknologi.

 

“SIRIM berharap STV akan lebih dikenali sebagai entiti pengkomersialan teknologi dan sebagai tempat rujukan kepada industri pada masa akan datang. Ini akan menjadi tonggak utama bagi SIRIM dalam meningkatkan kadar penggunaan teknologi dan kebolehpasaran inovasi di pasaran," katanya lagi. ​