SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Bersama




                           


MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA YAYASAN INOVASI MALAYSIA DAN SIRIM BERHAD

Kerjasama menerokai dana penyelidikan dan pembangunan

SHAH ALAM, 19 November 2021Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bersama SIRIM Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama dalam menerokai dana penyelidikan dan dana pembangunan.

 

MoU ini diadakan bagi membolehkan kedua pihak untuk mengenalpasti program atau projek, memupuk nilai-nilai inovasi sosial dan penyelidikan ilmiah, menyediakan peluang bagi pembangunan produk dan kemudahan kewangan, melaksanakan pembangunan keupayaan atau program latihan, bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk geran atau dana yang berpotensi tinggi dan bidang kerjasama lain yang berkaitan yang dipersetujui oleh pihak berkenaan.

 

Majlis Menandatangani MoU antara YIM dan SIRIM BERHAD telah diadakan secara dalam talian. YIM telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharmila Mohamed Salleh manakala SIRIM Berhad diwakili oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad. MoU tersebut telah disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi YIM, Mohd Rozaidi Abd Rahman dan Naib Presiden Kanan, Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Mohd Azanuddin Salleh.

 

YIM adalah agensi pembangun inovasi akar umbi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertindak sebagai sebuah platform untuk membangun dan mempertingkatkan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi dalam akademik, industri dan masyarakat, manakala SIRIM Berhad ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), peneraju penyelidikan perindustrian dan teknologi serta kualiti.

 

Menurut Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Eksekutif YIM, "Dalam tempoh pandemik ini, tumpuan YIM telah berkembang bukan sahaja memacu inovasi dan kreativiti di kalangan rakyat Malaysia, malah turut mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat dengan keutamaan diberikan kepada belia daripada kumpulan B40. Usaha ini melalui pelaksanaan projek yang berpotensi untuk membebaskan mereka dari kesempitan wang yang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

 

Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM BERHAD, berkata, "Melalui kerjasama ini, SIRIM berharap untuk mendapat manfaat daripada YIM dalam menyediakan peluang untuk pembangunan produk, kemudahan kewangan, pembinaan kapasiti dan latihan. Melalui YIM, SIRIM juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak yang menyediakan peluang kemudahan geran dan peruntukan.

 

Sejak 2015, SIRIM telah melaksanakan lebih 40 projek di bawah Dana Inovasi Sosial Malaysia yang telah memberikan hasil positif kepada rakan usahasama dan penerima bantuan. Satu daripada kejayaan SIRIM adalah Solar Compound/Street Light, projek perintis nelayan di Kuala Muda, Kedah yang menambah baik persekitaran kerja nelayan di jeti.

Di bawah MoU ini, lebih banyak projek dan inovasi boleh diterokai oleh SIRIM dan YIM termasuk kemungkinan penggunaan teknologi, pemindahan teknologi, program teknologi bersama dan perkhidmatan teknikal bersama untuk masyarakat.