​​SIARAN MEDIA​​

SIRIM BEKAL SERIBU KILOGRAM EKSTRAK PINEMASS BIO KEPADA HANNAN MEDISPA BANGUN PRODUK PENJAGAAN KULIT

  • Ekstrak pinemass bio dihasilkan melalui proses fermentasi daripada sisa nanas dan probiotik tulen.
  • SIRIM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dalam bidang aeroangkasa.
  •                  

    SHAH ALAM, 10 Mac 2023 : SIRIM Berhad, sebuah agensi penyelidikan dan teknologi utama negara akan membekalkan 1,000 kilogram (kg) ekstrak tumbuhan semula jadi daripada nanas atau ekstrak pinemass bio kepada Hannan Medispa Sdn Bhd bagi membangunkan produk penjagaan kulit berasaskan teknologi hijau.

    ​Ekstrak pinemass bio dihasilkan melalui proses fermentasi daripada sisa nanas dan probiotik tulen, formulasi itu dapat menggalakkan pencerahan kulit, penghidrasi dan meningkatkan kesihatan kulit. 

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata SIRIM sentiasa mengalu-alukan peluang untuk berkongsi kepakaran, teknologi dan kapasiti mereka untuk memajukan industri kosmetik tempatan. 

    “Usahasama ini akan membolehkan SIRIM menyediakan penilaian keselamatan produk kosmetik dan penjagaan kulit berkualiti tinggi kepada Hannan Medispa Sdn Bhd,” katanya. 

    Kerjasama strategik itu diterjemahkan melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai oleh SIRIM Berhad dan Hannan Medispa Sdn Bhd pada hari ini, di sini. 

    MoA tersebut ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hannan Medispa Sdn Bhd, Dato’ Dr. Hannan Mohamad Yusuf. 

    Melalui perjanjian itu, SIRIM Berhad akan turut menjalankan penilaian keselamatan produk yang merangkumi ujian kualiti ekstrak serta ujian kerengsaan kulit dan mata.

    Pada majlis yang sama SIRIM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama  Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dalam bidang pembuatan bahan tambahan  (additive manufacturing) untuk aplikasi industri aeroangkasa.

    MoU tersebut merangkumi pelbagai aktiviti daripada mereka bentuk kepada pembuatan bahagian peralatan dengan teknologi additive manufacturing.

    “SIRIM telah memperkenalkan additive manufacturing sejak 30 tahun lalu, mengetahui potensinya dalam menghasilkan sisa yang minimum dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar. Kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan industri dalam menggalakkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” kata Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin. 

    MoU tersebut ditandatangani oleh Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin yang mewakili SIRIM Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif AMIC, Dr. Liew Kan Ern di Ibu Pejabat SIRIM, di sini.

     

    ​ ​Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad, (dua dari kiri) menukar dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Pengasas Hannan Medispa Sdn Bhd, Dato’ Dr. Hannan Mohamad Yusuf (dua dari kanan) pada Jumaat di Ibu Pejabat SIRIM, Shah Alam.


    ##
    ​​​​​​​​​​