​SIARAN MEDIA
                                                    

SIRIM SERAPKAN PENGAWAL KESELAMATAN SEBAGAI ANGGOTA TETAP

Bantu mangsa kemalangan jalan raya yang kehilangan sembilan anggota keluarga

                 

SHAH ALAM, 24 Disember 2021:  SIRIM akan membantu pengawal keselamatan yang kehilangan isteri dan lapan orang anak dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini, dengan menyerapkan beliau sebagai anggota kerja tetap agensi itu.

Selain itu, SIRIM juga akan menanggung perbelanjaan pendidikan satu-satunya anak yang tidak terlibat dalam kemalangan itu, Haikal Faiz, 14.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad mengumumkan bantuan berkenaan selepas menziarahi rumah Abdul Razak Majit, di Kampung Padang Jawa, Shah Alam bersama-sama Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada misi bantuan banjir agensi MITI, petang Khamis.

Abdul Razak merupakan pengawal keselamatan yang bertugas secara kontrak di SIRIM sebelum ini.

"Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung keluarga mereka dan memberi semangat semula kepada En. Abdul Razak dan adik Haikal," kata Ahmad Sabirin.

Sementara itu, seramai 300 orang anggota kerja SIRIM terkesan dalam kejadian banjir besar yang melanda Shah Alam dan Klang pada Sabtu lepas.

Sebuah bilik gerakan banjir telah dibuka di ibu pejabat SIRIM di Shah Alam bagi menjalankan kerja-kerja koordinasi bantuan dan menyelamat anggota kerja dan keluarga.

##