​​

                  


 

SIARAN MEDIA

PROGRAM CSR BANTU 30 USAHAWAN TINGKAT KUALITI PERSEMBAHAN PRODUK

Bantu usahawan mikro, kecil dan sederhana tangani kesan Pandemik COVID-19

 

KUANTAN, 4 OKTOBER 2021: SIRIM Berhad, organisasi peneraju dalam teknologi perindustrian dan penyelesaian kualiti melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu 30 usahawan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun 2020.

 

 

Program CSR Kumpulan SIRIM dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti persembahan produk dalam usaha membantu usahawan berkenaan untuk memperhebatkan lagi hasil jualan mereka. Kebanyakan usahawan yang terdiri daripada pengusaha makanan dan minuman serta produk seperti kasut kanak-kanak, menerima bantuan seperti pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi, bahan promosi dan juga asas pemasaran digital.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato' Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata, program tanggungjawab sosial korporat ini mensasarkan kepada program sosio-ekonomi bagi peniaga kecil dan usahawan yang menerima kesan ekonomi akibat COVID19.

 

“Usaha CSR yang dilaksanakan ini juga adalah sejajar dengan satu daripada Prinsip Panduan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu Menangani Jurang Kekayaan dan Pendapatan selain menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 ke arah mentransformasi ekonomi rakyat ke arah yang lebih baik.

 

“SIRIM telah memilih 30 usahawan dari seluruh negara dan program ini telah berjalan sejak Ogos lalu. Di akhir program, usahawan akan menerima reka bentuk logo, label atau pembungkusan makanan lengkap dengan fakta nutrisi yang mengikut akta pemakanan yang ditetapkan dan bahan promosi seperti bunting," katanya.

 

Usahawan juga diberi kursus asas berkenaan pembungkusan dan penjenamaan produk, serta asas-asas promosi secara digital termasuk di media sosial dan platform beli-belah dalam talian. Kursus asas ini dikendalikan pakar dari Pusat Reka bentuk Pembungkusan dan Percetakan Keselamatan SIRIM dan anak syarikat SIRIM iaitu SIRIM Training (STS Sdn Bhd), manakala khidmat pengujian nutrisi ke atas produk makanan dan minuman turut dikendalikan juga oleh anak syarikat SIRIM, SIRIM QAS International Sdn Bhd.

 

Dato' Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata lagi, di Pahang sahaja empat usahawan dibantu di bawah program ini iaitu usahawan makanan sejuk beku, dodol, lemang periuk kera dan jus minuman kesihatan.

 

Penyertaan lain adalah dari:

  • Terengganu (1 usahawan) – sambal garing
  • Kelantan (1 usahawan) – karipap beku
  • Melaka (3 usahawan) – popia sejuk beku, bawang goreng, pes sambal
  • Johor (3 usahawan) – roti, pes asam pedas, keropok lekor
  • Perak (2 usahawan) – karipap sejuk beku
  • Pulau Pinang (2 usahawan) – ayam popcorn, cendawan
  • Kedah (2 usahawan) – madu tualang, mee kuning
  • Perlis (1 usahawan) – kasut kanak-kanak
  • Sarawak (4 usahawan) – sago coklat, semperit keju, kuih sepit coklat, peria goreng
  • Sabah (7 usahawan) – kuih penjaram pandan, pes mee kari, madu kelulut, keropok ikan, kerepek pisang, biskut coklat dan teh bobba.

     

SIRIM menyambut ulang tahun ke-25 pengkorporatannya tahun ini, dan program CSR Kumpulan ini bertepatan dengan mandat SIRIM menerajui pembangunan penyelidikan dan teknologi perindustrian, serta sebagai peneraju kualiti, kata Dato' Dr. Ahmad Sabirin.

 

“SIRIM sentiasa memainkan peranan utama dalam pembangunan sektor pembuatan negara. Dengan kepakaran dan asas pengetahuan yang kukuh, kami memberi tumpuan dalam membangunkan teknologi baru dan penambahbaikan dalam sektor pembuatan, teknologi dan perkhidmatan. Kami memupuk pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menawarkan penyelesaian bagi membolehkan penggunaan dan penambahbaikan teknologi, menjadikan SIRIM Rakan Inovasi Terbaik bagi PKS," katanya.

 

Di dalam perkembangan lain, SIRIM telah menerima lawatan kerja daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Husin ke Pejabat Cawangan SIRIM Pahang.

 

“SIRIM sebuah organisasi penyelidikan dan inovasi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sentiasa bersedia untuk menyediakan penyelesaian teknologi kepada industri, institusi kerajaan dan swasta seiring kemajuan era Industri Revolusi Keempat," katanya lagi.

###