​ ​
​SIARAN MEDIA
                           

SIRIM TAWAR KEPAKARAN TEKNOLOGI DI JOHOR

                 

JOHOR BAHRU, 12 Sep 2022: SIRIM Berhad, sebuah agensi kualiti dan penyelidikan industri utama negara di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini menganjurkan Program Keterlibatan SIRIM Bersama Industri yang menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Johor.

Kira-kira 200 wakil dari agensi kerajaan, industri, persatuan, institusi pengajian tinggi dan usahawan tempatan dari pelbagai sektor termasuk industri makanan & minuman, industri elektrikal dan elktronik, teknologi maklumat, perladangan serta industri pembinaan di Johor hadir pada program tersebut.

Bertemakan “Merapatkan SIRIM dengan Komuniti dan Industri”, program itu menekankan kepada kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian dan pensijilan.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, beliau diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han. Hadir sama Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin berkata SIRIM telah mengambil pelbagai langkah untuk mempertingkatkan usaha-usaha membantu perkembangan industri melalui program-program teknologi perindustrian dan kualiti antaranya penggunaan teknologi termaju dalam proses reka bentuk, pengeluaran dan kejuruteraan. 

“Bersesuaian dengan usaha kerajaan menggalakkan pengeluaran produk buatan negara agar mendapat tempat di pasaran antarabangsa, SIRIM sentiasa berusaha dan melaksanakan pelbagai langkah ke arah mencapai matlamat ini. Sebagai contoh, memastikan skim-skim pensijilan, pengujian dan pemeriksaan yang terdapat di SIRIM adalah bertaraf antarabangsa. Para pegawai yang menjalankan tugas pemeriksaan dan penilaian untuk skim-skim ini juga bertauliah dan berpengalaman.

“SIRIM menyediakan penyelidikan khusus dan teknologi inovatif yang akan membawa kepada peningkatan, impak dan lebih berdaya saing kepada industri di Malaysia,”katanya.

Pada majlis yang sama, SIRIM turut membuat pertukaran Perjanjian Kerjasama bersama  Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dan KROHNE (M) Sdn Bhd serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Prolexsus Berhad dan Bilion Prima Sdn Bhd.

Perjanjian Kerjasama di antara SIRIM, KPRJ serta KROHNE adalah dalam bidang perkhidmatan teknikal dan penyelidikan bagi projek Pusat Penentukuran Pemeteran Gas Tekanan Tinggi di tanah cadangan Mukim Senai di Daerah Kulai, Johor.

Sementara itu, SIRIM dan Billion Prima bekerjasama dalam bidang penyelidikan Non-Intrusive Inspection Security System and Information Technology. Manakala kerjasama SIRIM dan PROLEXUS Berhad akan melibatkan usahasama dalam bidang penyelidikan bahan buangan dan solar PV hibrid dan sistem penyimpanan bateri.

SIRIM diwakili oleh Dato’ Indera Ahmad Sabirin dan KPRJ diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lukman Abu Bakar manakala KHROHNE diwakili Penasihat Pembangunan Perniagaan KROHNE, Abdul Latib Hasan.

Sementara itu, Billion Prima diwakili oleh Pengarah Billion Prima, Tan Sri Alies Anor Abdul dan PROLEXUS Berhad diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Tan Eik Huang.

## ​​​​​​