​ ​
SIARAN MEDIA
                           

SIRIM QAS INTERNATIONAL TINGKAT KERJASAMA STRATEGIK KEMPEN ADA SIRIM BARU BELI

Sumbang 570 Topi Keledar kepada Pelajar UiTM

SHAH ALAM, 21 JUN 2023: SIRIM QAS International Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad, hari ini menyumbang 570 topi keledar kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporatnya melalui Kempen Kesedaran Pengguna ‘ADA SIRIM BARU BELI’ dengan kerjasama pelajar tahun akhir Komunikasi Antarapersonal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Media (INCSPECT) UiTM.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhammad berkata, kerjasama tersebut merupakan kesinambungan syarikat dalam meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan penggunaan produk atau perkhidmatan yang diiktiraf oleh SIRIM.


“UiTM dipilih sebagai rakan strategik kami berdasarkan peratusan pelajar mereka yang menggunakan motosikal lebih tinggi berbanding kereta sebagai mod kenderaan utama ke universiti", katanya.  


​Beliau yang merasmikan program tersebut di perkarangan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM juga menegaskan bahawa inisiatif ini antara langkah syarikat untuk menyokong usaha mengurangkan kadar kecederaan berat akibat penggunaan topi keledar yang tidak menepati standard yang ditetapkan dan diuji oleh SIRIM QAS International.


Hadir sama pada majlis tersebut Penolong Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Azizah Abdullah dan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Profesor Madya Dr Massila Hamzah.


“Dengan penganjuran program kali ini, kami berharap ia akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penunggang motosikal untuk menggunakan topi keledar yang menepati standard, mempunyai label SIRIM dan pada masa yang sama, mengurangkan kebarangkalian kematian penunggang motosikal di atas jalan raya." katanya  lagi.

 

Kempen ini juga selari dengan matlamat SIRIM QAS International untuk mempertingkatkan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Kesatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) terutamanya daripada segi pendidikan sebagai keperluan asas.

 

Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Khidmat Pelanggan SIRIM QAS International melalui saluran berikut +603-5544 6400; atau WhatsApp +6019-2332511; atau email cserviceqas@sirim.my



##​#

​​​​​​​​​​​​​