"Kumpulan ahli pengurusan SIRIM akan terus diperkukuhkan melalui pelantikan Dato’ Dr Ahmad Sabirin sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM yang baharu. SIRIM akan terus mencatat sejarah untuk terus maju dan berkembang untuk masa hadapan", katanya.
Dr Ahmad Sabirin, 57, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Ventures, sebuah anak syarikat bagi syarikat minyak dan gas, UZMA Berhad. Sebelum itu, beliau memegang pelbagai jawatan di Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB), sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dari tahun 2000 hingga 2019.
Beliau adalah antara perintis kumpulan jurutera yang terlibat dalam pembangunan satelit MEASAT-1 di Hughes Aircraft Company (kini Boeing). Beliau juga antara kumpulan yang mempelopori pembangunan satelit mikro pertama Malaysia, TiungSAT-1, yang telah dilancarkan ke orbit pada 26 September 2000.
Beliau seterusnya mengetuai kumpulan jurutera untuk mereka bentuk, membangun, melancar dan pengoperasian satelit kedua negara, RazakSAT. Dr Ahmad Sabirin juga berperanan dalam mengetuai pasukan penyediaan logistik dan sokongan saintifik untuk pelancaran Angkasawan Pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada tahun 2007.
Program penting lain yang beliau telah ketuai termasuklah pengaturan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional dan Pengesan Radiasi Mesra Alam.
Dr Ahmad Sabirin mendapat pendidikan tinggi di California Maritime Academy dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc) Kejuruteraan Marin pada 1986; lepasan Diploma dalam Pendidikan dari Universiti Teknologi Malaysia pada 1988, Sarjana Kejuruteraan (M.Eng) dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya pada tahun 1990; dan Doktor Falsafah(PhD) dalam Kejuruteraan Mekanikal –
Combustion dari University of Wales College of Cardiff, UK pada 1993.
"Dr Ahmad Sabirin mempunyai pengalaman dan kepakaran yang penting untuk jawatan utama ini. Pelantikan beliau mencerminkan aspirasi SIRIM dalam melaksanakan peranan dan fungsi organisasi ini sebagaimana yang telah dimandatkan oleh kerajaan. Selain mendorong SIRIM untuk terus memberi sokongan padu kepada rakan kongsi kami dan memastikan pertumbuhan yang mampan dengan memperkuatkan kemampuan dan terus relevan kepada industri melalui inovasi produk," kata Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin lagi.
Beliau mewakili ahli Lembaga Pengarah SIRIM turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ir Dr Ahmad Fadzil atas usaha keras, komitmen dan dedikasi beliau kepada SIRIM sepanjang empat tahun perkhidmatannya. Ahli Lembaga Pengarah turut memuji kepemimpinan beliau dalam berdepan dengan cabaran dan ketidakpastian ketika pandemik COVID-19 melanda negara.
Semasa perkhidmatannya, Datuk Ir Dr Ahmad Fadzil telah menubuhkan Pelan Strategik 10 tahun Kumpulan SIRIM, serta pelan-pelan strategik SIRIM
Industrial Research First dan
National Metrology Institute of Malaysia’s Trust untuk kemampanan bisnes. Beliau juga telah menerajui usaha SIRIM dalam membantu industri tempatan untuk menceburi Industry 4.0 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan pengurusan kepada PKS tentang teknik pengeluaran asas yang berkait dengan Pembuatan Pintar. Selain itu, Datuk Ir Dr Ahmad Fadzil juga mengetuai pembangunan Pelan Transformasi Pendigitalan SIRIM dan Program Transformasi Budaya SIRIM, serta memperkenalkan frasa "Rakan Terbaik Inovasi" sebagai visi baharu SIRIM yang seterusnya menjadi slogan bagi Kumpulan itu.
###