​SIARAN MEDIA
                                                    

SIRIM TAWAR KEPAKARAN TEKNOLOGI KEPADA INDUSTRI PAHANG

                 

KUANTAN, 21 Julai 2023: SIRIM Berhad, agensi kualiti dan penyelidikan industri utama negara hari ini menganjurkan Program Keterlibatan SIRIM-Industri menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Pahang.

 

Lebih 200 wakil dari agensi kerajaan, persatuan industri dan usahawan tempatan daripada pelbagai sektor termasuk industri makanan & minuman, industri elektrikal dan elektronik , penentukuran, teknologi maklumat, perladangan serta industri pembinaan di Pahang telah hadir pada program separuh hari tersebut.

 

Bertemakan "Merapatkan SIRIM dengan Komuniti dan Industri", program itu menekankan kepada kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian dan pensijilan. Program ini merupakan penganjuran kali kedua pada tahun ini dan akan diteruskan lagi di Selangor, Sabah dan Sarawak.

 

Program tersebut disempurnakan oleh Exco Pelaburan,Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang, Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib, hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad.

 

Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin berkata, SIRIM telah mengambil pelbagai langkah untuk mempertingkatkan usaha membantu perkembangan industri dan usahawan di Pahang melalui program teknologi perindustrian dan kualiti antaranya penggunaan teknologi termaju dalam proses reka bentuk, pengeluaran dan kejuruteraan serta khidmat nasihat teknikal.

 

Menurut beliau lagi, SIRIM bersedia untuk berganding bahu bersama Kerajaan Negeri untuk membangunkan dan mempertingkatkan taraf ekonomi usahawan asnaf dan usahawan kumpulan B40 melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat agensi itu.

 

"Pada tahun ini, sebanyak 10 usahawan di Pahang dan 10 lagi usahawan di Johor akan dibantu dalam Program Peningkatan Kualiti Persembahan Usahawan dan diharapkan dengan kerjasama Kerajaan Pahang, lebih banyak program pembangunan usahawan yang komprehensif dapat dibangunkan supaya usahawan dapat dibimbing secara sistematik di negeri ini.

 

"SIRIM sentiasa cakna dan prihatin dengan perkembangan usahawan tempatan di Pahang,lebih 3,000 pengusaha di seluruh negeri ini telah dibantu dalam pelbagai jenis perkhidmatan seperti perundingan, taklimat, seminar, pembangunan produk, penambahbaikan proses dan sebagainya," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Keterlibatan SIRIM-Industri di Pejabat SIRIM, di sini. 

 

Sementara itu, Program Keterlibatan SIRIM-Industri adalah inisiatif SIRIM untuk membantu perusahaan di Pahang terus kekal berdaya saing melalui penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk berkembang dengan lebih maju dan berintegriti di persada tempatan dan antarabangsa.

##