SIARAN MEDIA
 

 

 

​SIRIM PERKENAL LAMPU JALAN BERKUASA SOLAR MESRA ALAM

  • ​Guna tiang komposit ringan, selamat daripada renjatan elektrik berbanding tiang biasa
  • Mampu kurangkan Karbon Dioksida sebanyak 21,000 tan setahun jika 46,000 tiang lampu dipasang di Shah Alam  

 

 SHAH ALAM, 6 Ogos 2019: SIRIM Berhad, sebuah agensi penyelidikan dan teknologi utama negara di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya menghasilkan sistem lampu jalan LED berkuasa solar yang menggunakan teknologi tiang komposit dan bateri Litium Ion yang mesra alam dan menjimatkan tenaga. 
Inovasi SIRIM ini telah berjaya dikomersilkan dengan pemasangan 99 tiang lampu di sekitar Tasik Seksyen 7, Shah Alam di bawah seliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), yang menjimatkan tenaga elektrik sebanyak 13.5 MWh setahun. 
Sekiranya teknologi ini diperluas di seluruh kawasan MBSA yang menggunakan hampir 46,000 tiang lampu, impak penjimatan elektrik yang akan dicapai adalah sebanyak 30.2 GWh setahun manakala pengurangan Karbon Dioksida sebanyak 21,000 tan setahun dapat direalisasikan, sekaligus menyumbang kepada Local Agenda 21 ke arah Bandar Rendah Karbon.
Sistem lampu jalan LED berkuasa solar itu telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking pada Perhimpunan Bulanan kementerian berkenaan dan agensi di bawahnya. 
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh SIRIM di ibu pejabatnya di sini, hari ini. Hadir sama pada perhimpunan itu, Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali,  Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, ketua-ketua Agensi dan pegawai kanan MITI. 
Pada majlis berkenaan, MITI turut meraikan warga kerja yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan memperkenalkan anggota kerja baharu di kementerian itu. MITI turut menerima pensijilan ISO 27001 ISMS (Information Security Management System) daripada SIRIM QAS International, bagi pengurusan dan pengoperasian pusat data dan sistem peruntukan saham khas Bumiputera di MITI.
Sementara itu, sistem lampu jalan SIRIM dijana melalui tenaga solar yang boleh diperbaharui, mampu mengurangkan pembebasan Karbon Dioksida dengan menggunakan bahan komposit yang tahan karat, bersifat penebat tinggi, kukuh dan ringan. 
Tiang lampu solar tersebut juga diperakui selamat kerana bahan yang digunakan tidak berisiko untuk terkena renjatan elektrik selain lebih ringan dan mudah diangkat berbanding tiang lampu besi yang biasa digunakan. 
2
 
Pemasangan lampu jalan berkenaan amat mudah dengan pelaburan awal yang berpatutan kerana proses pemasangan tiang lampu solar itu tidak memerlukan kerja sivil, mekanikal dan pendawaian yang rumit. 
Teknologi berkenaan sesuai digunakan di kawasan terpencil seperti tempat yang tidak mempunyai infrastruktur grid, luar bandar dan kawasan berhampiran dengan laut. 
Sistem lampu jalan LED berkuasa solar itu sehingga ini telah dipasang di beberapa lokasi antaranya Jeti Nelayan, Kuala Dulang, Yan, Kedah; Jeti Nelayan, Pulau Tuba, Langkawi, Kedah; Jeti Nelayan, Kg Bakau Tua, Seberang Prai, Pulau Pinang; dan Pantai Murni Yan, Kedah.
Selaras dengan perkembangan revolusi industri 4.0, sistem lampu jalan ini juga telah digabungkan dengan teknologi Internet of Things (IoT) yang membolehkan lampu ini dipantau fungsinya secara dalam talian. Peranti inovasi yang dikenali sebagai “Power Trip Monitoring System” dapat menghantar data, arus dan voltan secara terus dalam masa nyata ke pelayan awanan melalui teknologi Wi-Fi. Sekiranya berlaku kegagalan kuasa, peranti tersebut secara automatik akan memberi amaran kepada agensi berkaitan melalui telefon pintar untuk tindakan pembaikan.  
Antara ciri-ciri produk ini:
• Bateri Litium Ion yang boleh dicas semula dan tahan lama sehingga lebih 2000 kitaran

• Tiang lampu komposit yang ringan tetapi kuat untuk menampung berat panel Solar PV dan lampu LED 

• Bateri terlindung di dalam tiang lampu komposit, mengurangkan kes kecurian dan vandalisme

• Tiada bil elektrik dan kos penyelenggaraan yang rendah

• Mesra alam

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking (tengah) bersama Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali (kiri) dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani melihat lampu jalan berkuasa solar di Bangunan SIRIM, Shah Alam pada 6 Ogos 2019.

 

Toll Free: 1-300-88-7035
General Line: 603-5544 6000
Customer Service & Support : 603- 5544 6542 /6518 / 6692/ 6693 /6762
Email: web@sirim.my
Customer Service Operating Hours:
Monday – Thursday: 8:30 am to 5:00 pm
Friday : 8:30 am to 4:45 pm 
Lunch break:
Monday – Thursday : 1.00pm  -  2.00pm
Friday :12:30pm -  2:45pm

For more details, let us hear from you.


Talk To Us

Hello, I'm Nadia.
Got any questions?
Our team is ready to help you.