KUANTAN, 10 MEI 2024: SIRIM Berhad hari ini melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyediakan latihan dan khidmat nasihat serta bantuan bernilai RM100,000 kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana daripada golongan asnaf dan B40 di Negeri Pahang yang bertujuan memperkasa perniagaan mereka untuk lebih berdaya saing di peringkat tempatan dan global.
10 usahawan terpilih yang melalui saringan teliti oleh Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) ini telah diberikan latihan dan khidmat rundingan perniagaan melalui Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Percetakan Keselamatan SIRIM (PSDC). Antara khidmat rundingan perniagaan yang diberikan termasuk pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi, serta bahan promosi.
Turut hadir, YB Dato' Amizar Abu Adam, EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi Dan Usahawan Negeri Pahang mewakili YAB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, Puan Mazlina Manshor, Pengarah SIRIM Pahang mewakili YBhg Dato' Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad dan YBhg Dato' Ahmad Hairi Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya yang dibaca oleh Dato' Amizar berkata, “Program yang dilaksanakan oleh SIRIM amat tepat pada masanya dalam usaha membantu melancarkan perancangan Kerajaan Negeri ke arah pembangunan mampan. Saya amat berharap SIRIM dapat memainkan peranannya dalam memastikan setiap inisiatif mematuhi prosedur dan garis panduan yang ditetapkan."
Dato' Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin dalam ucapannya yang dibaca oleh Puan Mazlina Manshor,
Pengarah SIRIM Pahang berkata, "Pembungkusan produk merupakan aspek penting dalam menarik minat pembeli. Pembeli sekarang mempunyai banyak pilihan jadi label yang dapat memberi impak visual, unik dan menarik akan dapat meningkatkan jualan,"
Program Peningkatan Kualiti Pembungkusan Produk (Innopack) dan BIZ Transformation di bawah seliaan PSDC SIRIM telah membimbing 8,834 usahawan, manakala lebih 10,000 produk telah berjaya dipertingkatkan dari tahun 2016 sehingga kini.
SIRIM komited untuk terus melaksanakan program CSR seumpama ini di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia dan bersedia untuk menjalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam negeri atau mana-mana agensi di setiap negeri yang mempunyai inspirasi yang sama dengan SIRIM, membantu meningkatkan kualiti hidup kumpulan Asnaf dan B40 melalui perniagaan dan pembangunan kemahiran.
Sementara itu, di lokasi yang sama, SIRIM Negeri Pahang telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan negeri Pahang, peneraju syarikat korporat, usahawan dan persatuan industri daripada pelbagai sektor yang sentiasa berkerjasama dengan SIRIM Negeri Pahang. SIRIM sentiasa komited dalam mengukuhkan hubungan bersama pihak kerajaan negeri dan industri, bagi memastikan kerjasama pelbagai pihak sentiasa terjalin.
##
MENGENAI SIRIM
SIRIM Berhad, anak syarikat Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberi tumpuan kepada Penyelidikan Perindustrian, Pembangunan Teknologi dan Pengkomersilan; Pensijilan, Pengujian dan Pemeriksaan; Pengukuran dan Penentukuran; Latihan; Penyelidikan dan Pembangunan Standard; Keusahawanan berasaskan Teknologi; dan Perundingan Reka bentuk.SIRIM Corporate Website
For latest news, follow SIRIM Berhad social media accounts:
Perhubungan Media SIRIM Berhad: